Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat KDNK Sektor Bukan Minyak dan Gas

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Bagi meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sektor Bukan Minyak dan Gas serta membuka peluang pekerjaan, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mempergiatkan aktiviti sektor hiliran minyak dan gas, sektor pemakanan, pelancongan, perkhidmatan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

    Sektor yang diberikan keutamaan itu juga mengambil kira kelebihan kompetitif dan komparatif sedia ada dari segi infrastruktur, ketersediaan sumber semula jadi dan persekitaran ekonomi terutama industri yang telah menunjukkan perkembangan dan mempunyai potensi yang tinggi untuk dimajukan dengan lebih pesat lagi.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berkata demikian ketika membentangkan kertas Cadangan Rang Undang-undang 2019 Perbekalan 2019/2020 pada hari kedua permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN), kelmarin.

    Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa pihak kerajaan juga bergiat secara proaktif dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti bagi mempercepatkan lagi usaha pembangunan sektor swasta di negara ini. Antara projek FDI yang telah beroperasi untuk tujuan import gantian, pengeksportan dan penggunaan domestik termasuklah Syarikat Yamako Pacific (B) Sdn Bhd bagi pemprosesan Yellow-Fin dan Skipjack Tuna yang telah berjaya mengeksport sebanyak 75 metrik tan ke Jepun dan Malaysia dan Syarikat HLDS (B) Steel Sdn Bhd bagi pengeluaran paip keluli karbon dan sarung paip yang telah berjaya mengeksport kira-kira 11,500 metrik tan ke Kanada.

    Selain itu, syarikat lain ialah PureFresh (B) Sdn Bhd bagi pemprosesan Blue Shrimp dan makanan laut yang telah berjaya mengeksport kira-kira 21 tan metrik tan ke China; Syarikat Polygel Organometallic (B) Sdn Bhd, loji pemprosesan kimia khusus untuk Organic Titanates telah berjaya mengeksport kira-kira 43 tan ke India serta Syarikat Saahtain (B) Sdn Bhd bagi pengeluaran makanan halal Ready to Eat Meals, yang telah berjaya mengeksport kira-kira 189 metrik tan ke Jordan, Lebanon, Emiriah Arab Bersatu, Bangladesh, Kenya, Malaysia, Turkey, Oman dan Arab Saudi.

    “Memandangkan syarikat-syarikat FDI ini masih beroperasi di peringkat awal, maka dengan sokongan daripada pelbagai agensi dan penggunaan teknologi tinggi, adalah diharapkan mereka akan dapat meningkatkan lagi jumlah eksport masing-masing pada tahun-tahun yang akan datang.”

    Yang Berhormat Dato menjelaskan lagi, di antara perkembangan projek-projek FDI yang sedang dalam pelaksanaan adalah Syarikat Hengyi Industries Sdn Bhd yang akan memulakan operasi pada penghujung 2019 dan akan menjana peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dan Syarikat Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd adalah dalam fasa pembinaan kilang penghasilan ammonia dan urea dan dijangka akan mula beroperasi pada suku pertama 2022.

    Beliau berkata bahawa projek-projek FDI adalah di bawah sektor-sektor keutamaan yang dapat membantu memberi peluang perniagaan kepada syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti perladangan kontrak atau pembekalan, perkhidmatan, perniagaan dan logistik.

    “Ke arah penjanaan sektor awam yang efisien pula, salah satu inisiatif utama yang sedang giat dilaksanakan adalah pengkorporatan beberapa agensi kerajaan melalui perkongsian awam dan swasta (PPP) dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

    “Langkah ini bukan sahaja untuk mencapai objektif dalam meningkatkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan dan kualiti perkhidmatan, ianya juga merupakan platform untuk meningkatkan aktiviti pelaburan dalam membangun sektor swasta yang boleh menjana peluang pekerjaan yang lebih berkualiti kepada anak-anak tempatan.”

    Menyentuh mengenai usaha untuk memajukan industri pelancongan dan logistik, Yang Berhormat Dato berkata Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah menambah jumlah pesawat kepada 14 buah, menjadikan pesawat RB adalah yang terbaharu di rantau ini. Di samping itu, untuk memudah cara perniagaan dan meningkatkan jumlah pelancong ke Brunei, antara pelan strategik RB adalah untuk meningkatkan hasil pendapatan dan trafik penumpang ke negara ini.

    “Ini termasuklah dengan memperluaskan lagi rangkaian RB ke destinasi seperti Haikou, Changsa, Tokyo, Taipei, Kuching, Seoul dan Brisbane serta meningkatkan kekerapan penerbangan ke destinasi strategik dan memperkenalkan penerbangan terus ke London. Syarikat RB juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Lembaga Pelancongan Brunei untuk mengendalikan aktiviti pemasaran bagi mempromosikan Brunei sebagai destinasi menarik untuk pelancongan.”

    Yang Berhormat Dato juga mendedahkan beberapa inisiatif lain juga sedang berjalan termasuk Projek PPP Penyelesaian Permeteran Pintar Seragam (USM) iaitu projek usaha sama di antara kerajaan dengan Kumpulan-kumpulan Syarikat DST untuk memperkenalkan satu sistem meter pintar pra-bayar yang baharu.

    “Sistem ini menyatukan meter air dan elektrik, di mana faedah-faedah yang boleh diperoleh adalah seperti pengawalan kredit secara automatik, pengesanan gangguan bekalan elektrik dan air termasuk pengesanan meter yang diusik.

    “Selain itu, sistem ini juga berupaya menyediakan data penggunaan elektrik dan air dan seterusnya membolehkan pelanggan untuk mengawal atau merancang penggunaan masing-masing dan membolehkan agensi-agensi utiliti untuk membuat perancangan kecekapan untuk mengurangkan pembaziran.”

    Meter pintar itu, jelasnya lagi, merupakan satu cara untuk menyelesaikan isu pembayaran hutang yang lama tertunggak dan boleh dipasang di rumah-rumah, bangunan kerajaan dan pusat-pusat komersial. Penswastaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, kapal-kapal Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) melalui penubuhan sebuah yarikat usaha sama iaitu Syarikat Muara Maritime Sdn Bhd di antara Darussalam Assets Sdn Bhd dan Lurssen Internaval. Syarikat itu dihasratkan akan dapat membangunkan kluster industri maritim di negara ini dan dengan adanya pelaburan sedemikian, ia dapat diperkembangkan lagi pada masa akan datang dengan menarik syarikat-syarikat perkapalan dari luar negara untuk menggunakan khidmat MRO yang ada di negara ini.

    Di samping itu, usaha sama itu akan dapat meningkatkan kapasiti tenaga manusia melalui pemindahan ilmu pengetahuan serta memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan dalam industri maritime.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda