Oleh Yusrin Junaidi dan Hajah Saemah Kipli
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Bagi mempertingkatkan lagi langkah-langkah pencegahan jenayah, Program Pengawasan Kejiranan (PK) semakin giat dijalankan di beberapa kawasan di negara ini.
Sehubungan itu, Balai Polis Berakas telah mengadakan pendekatan bersama ketua-ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan Kawasan 3 dan Kawasan 4, Haji Mahir bin Mohd Yusof dan Haji Jumat Bin Nasir.
Mengetuai rombongan berkenaan ialah ahli Focal Point PK, Koperal 3854 Haji Tejuddin bersama beberapa anggota Balai Polis Berakas.
Tujuan pendekatan ini diadakan adalah untuk membuat pemantauan setiap bulan ketika ketua kampung membuat agihan wang pencen tua dan kebajikan bagi penduduk-penduduk yang menerimanya di setiap kampung-kampung di kawasan tadahan Balai Polis Berakas.
Selain itu ianya juga secara tidak langsung membenteras kegiatan jenayah dan mengekalkan keamanan semasa proses agihan wang pencen tua/kebajikan.


Sementara itu di Daerah Belait pula, operasi pencegahan jenayah terus digiatkan.
Mengetuai rondaan tersebut ialah S/Sgt 2693 Umpor Anak Ranggau bersama tiga anggota Balai Polis Seria.
Hadir mengikuti rondaan berkenaan ialah Ketua Kampung Lorong 3 Seria, Haji Saidin Bin Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah ahli-ahli PK dari Kampung Lorong 3 Seria.
Program pencegahan jenayah ini tertumpu di kawasan RPN Kg Lorong 3 Seria dan RPN Lorong Tengah.
Semasa rondaan pencegahan jenayah dibuat tidak ada menjumpai sebarang orang yang mencurigakan. Dengan adanya program seperti ini, diharapkan ia sokongan padu dan kerjasama yang diberikan oleh masyarakat kampung memberikan impak positif
dalam aspek kebajikan sosial masyarakat dan peningkatan kesejahteraan penduduk-penduduk kampung setempat.