Sunday, May 4, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat keberkesanan pengajaran, pembelajaran melalui platform digital

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Jabatan Pengajian Islam (JPI),  Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kelmarin mengadakan Majlis Pelancaran dan Pertandingan Platform Digital Pendidikan bagi Persekolahan Arab dan Ugama, yang berlangsung di Auditorium Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja lsteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Kampung Katok.

    Semasa pertandingan berkenaan, johan bagi Kategori A Persekolahan Arab dimenangi oleh Sekolah Arab Belait, tempat kedua dimenangi oleh SUAMPRIPAHS dan tempat ketiga disandang oleh Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah.

    Manakala pemenang bagi Kategori B Persekolahan Ugama dimenangi oleh Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri (SU PAP) Amal Umi Khaltum Al Islam, Kampung Mulaut; tempat kedua dimenangi oleh Sekolah Ugama Lumapas, dan tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Ugama Lambak, Jalan Bedil.

    Majlis telah dirasmikan oleh Pemangku Setiausaha Tetap di KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim, yang turut menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada para pemenang pertandingan bagi kedua-dua kategori.

    Platform tersebut dihasratkan dapat meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, di samping memudah cara pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar di Persekolahan Arab dan Ugama.

    Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, dikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah JPI, KHEU, Hajah Mariana binti Haji Jamil selaku pengerusi majlis.

    Penyediaan platform berkenaan merupakan kesinambungan usaha JPI dalam menyediakan peralatan komputer, capaian internet dan prasarana lain ke arah menyokong pelaksanaan Blended Learning di Persekolahan Arab dan Ugama.

    Majlis tersebut juga diadakan sebagai penghargaan kepada pihak sekolah yang telah memberikan sokongan padu dalam menjayakan Program At-Tatweer, iaitu program latihan bagi meningkatkan kompetensi guru-guru Persekolahan Arab dan Ugama.

    Selain penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan, majlis turut menyaksikan penyampaian Hadiah Penghargaan Khas kepada Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit sebagai pelopor platform tersebut. Sekolah itu juga telah berjaya meraih saguhati dalam Anugerah Inovasi Perdana (AIP) bagi tahun 2023, di samping penglibatan mereka sebagai pemudah cara bengkel kepada 21 buah sekolah ugama.

    Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, sebelum tetamu kehormat menyaksikan pameran pertandingan yang diadakan di ruang an-Naura, SUAMPRIPAHS.

    Pertandingan tersebut telah dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, dengan kerjasama Bahagian Sekolah Arab dan Bahagian Sekolah Ugama, JPI.

    Awang Misle menyampaikan hadiah kepada johan Kategori A bagi pertandingan tersebut.
    Awang Misle menyampaikan hadiah kepada johan Kategori B bagi pertandingan itu.
    Atas & bawah: Awang Misle menyaksikan pameran pertandingan yang diadakan di ruang an-Naura, SUAMPRIPAHS.

    Awang Misle bergambar ramai pada majlis berkenaan.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda