Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kebolehkerjaan graduan tempatan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Program Perantis Digital TechXPLORE merupakan sebuah inisiatif oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) yang bermatlamat untuk menyediakan peluang bagi pengalaman persekitaran kerja ICT sebenar luar negara bagi graduan-graduan tempatan untuk meningkatkan kebolehkerjaan mereka serta menjadi siaga-industri.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Kolaborasi (CA) antara AITI dan Mindtrex Academy Sdn Bhd bagi Program Perantis Digital TechXPLORE serta Penganugerahan bagi Kohort 1 TechXPLORE telah diadakan kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AITI, di sini, menyatakan bahawa hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar selaku Ketua Bersama Kumpulan Kerja Jawatankuasa Pemandu Tenaga Manusia Sektor ICT (MISC-WG ICT).

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli MISC-WG ICT, ahli kepimpinan kanan dan pegawai kanan AITI, peserta-peserta Kohort 1 TechXPLORE serta ibu bapa dan penjaga para peserta.

    Pada majlis berkenaan, MoU dan CA berkenaan telah ditukar antara Pemangku Penolong Ketua Eksekutif Kumpulan Pembangunan Industri AITI, Dayang Siti Zaraura binti Haji Mohammad dan Pengarah Urusan Mindtrex Academy, Pengiran Mohammad Khairi bin Pengiran Haji Metussin sambil disaksikan oleh Haji Jailani.

    Haji Jailani bergambar bersama Dayang Siti Zaraura dan Pengiran Mohammad Khairi selepas majlis penandatanganan MoU berkenaan. – GAMBAR SERAHAN AITI
    Tetamu kehormat bergambar ramai bersama peserta dan ibu bapa. – GAMBAR SERAHAN AITI

    Majlis diikuti dengan penganugerahan kohort pertama bagi Program Perantis Digital TechXPLORE oleh Haji Jalani kepada lima orang graduan tempatan berpotensi yang telah dipilih berdasarkan kepada potensi masing-masing dalam bidang ICT.

    Mereka terdiri daripada Awang Mohamad Adib bin Maimon, Dayang Nurliyana Khairunisa binti Zuliskandar, Awang Mohd Danial Hakim bin Haji Abdul Wahab, Awang Muhammad Wafiy Syahmi bin Shamsuddin dan Dayang Nurulhuda Asilah binti Haji Asli.

    Kohort pertama berkenaan bermula dengan sesi onboarding pada September lalu dan akan berlepas bagi penempatan selama enam bulan di Bandung, Indonesia pada 27 Oktober nanti.

    Semasa perantisan berkenaan, mereka akan bekerja di bawah penyeliaan dan bimbingan pakar industri, terlibat dalam projek amali dan praktikal yang relevan kepada peranan pekerjaan mereka.

    Mindtrex Academy telah membangunkan tajuk pekerjaan khusus, huraian peranan terperinci serta kecekapan teknikal yang ditentukan bagi kohort pertama TechXPLORE berdasarkan Rangka Kerja Kompetensi Industri ICT Brunei (BIICF).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda