Tingkat kecekapan ahli PUJA

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – PUJA Academy Sdn Bhd (PASB) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) dan Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC) telah menganjurkan webinar bertajuk ‘Keselamatan dan Kesihatan dalam Industri Pembinaan’, kelmarin.

Webinar itu menjemput dua penceramah dari SHENA, Inspektor Kanan Hajah Bibi Kalthom binti Haji Mohamad dan Inspektor I Awang Zaharuddin bin Haji Abdul Rahman serta penceramah dari Sekretariat MPEC, Dayang Siti Nurbazilah binti Haji Mohd Noor.

Webinar yang dijalankan menerusi platform Zoom itu mengumpulkan lebih 60 orang peserta terdiri daripada ahli Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek Brunei (PUJA), sektor kerajaan dan orang ramai.

Ia dibahagikan kepada tiga segmen di mana setiap penceramah menyentuh tentang topik kepakaran mereka.

Hajah Bibi Kalthom menyentuh mengenai ‘meningkatkan keselamatan dan kesihatan tempat kerja di tapak pembinaan’ yang telah menekankan akan kepentingan pengetahuan dan kesedaran serta pematuhan Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2009 dan peraturannya.

Manakala Awang Zaharuddin pula membincangkan tentang ‘Bagaimana untuk meningkatkan budaya keselamatan dan kesihatan dalam industri pembinaan?’ yang mana dalam ceramah beliau telah menegaskan bahawa kemalangan di tempat kerja biasanya disebabkan kurangnya kesedaran dan akauntabiliti majikan atau penghuni terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja mereka.

Webinar diakhiri dengan ceramah mengenai Program Perantisan Kecekapan Pilot HSE yang disampaikan oleh Dayang Siti Nurbazilah.

PASB terus aktif menawarkan webinar dan kursus maya untuk meningkatkan kompetensi ahli PUJA dan industri pembinaan, dengan misinya untuk ‘Menggalakkan Kesedaran, Meningkatkan Pengetahuan dan Meningkatkan Pengalaman’.

Antara yang terlibat menyertai webinar bertajuk ‘Keselamatan dan Kesihatan dalam Industri Pembinaan’ berkenaan.