BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Jabatan Pentadbiran Perkhidmatan-perkhidmatan dan Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan hari ini menganjurkan taklimat sosialisasi di Dewan Kuliah, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.
Taklimat dihadiri oleh pemimpin-pemimpin sekolah dan guru-guru kanan dari Daerah Brunei dan Muara bertujuan meningkatkan tahap kecekapan dan kesiap-siagaan mereka untuk menangani insiden jerebu dan kebakaran hutan serta belukar berhampiran kawasan sekolah dan maktab.
Ia disampaikan Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II dari Unit Alam Sekitar, Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE), Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Kementerian Pendidikan, Hajah Razinahtul Hasyimah binti Haji Abdul Rahim.
Pada taklimat itu, Hajah Razinahtul Hasyimah menerangkan mengenai kepentingan aspek kesihatan, keselamatan, kawalan keselamatan dan persekitaran warga sekolah terjamin dan terkawal selepas insiden.
Selain itu, beliau turut memberikan garis pandu teratur dan infrastruktur selamat dalam langkah-langkah awal menangani insiden jerebu dan kebakaran hutan.
Bahagian HSSE turut menyerahkan dua buah buku Standard Operation Procedure (SOP) kepada pemimpin-pemimpin sekolah dan guru-guru kanan yang hadir bagi menunjukkan komitmen dan kerjasama positif HSSE bersama warga sekolah.
Taklimat dihadiri oleh pegawai-pegawai dan kakitangan dari Bahagian HSSE, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan-perkhidmatan, Jabatan Sekolah-sekolah dan wakil dari Jabatan Perancangan dan Pengurusan Estet.