Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Tingkat kedayatahanan sektor kewangan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menganjurkan sesi Tinjauan Ekonomik dan Pelaburan pada 25 Januari lalu di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Sesi berkenaan telah dihadiri lebih 260 orang peserta daripada pelbagai organisasi, termasuk bahagian-bahagian di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, serta agensi-agensi Iain, institusi-institusi kewangan dan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan.

    Acara yang bertemakan Kehidupan dalam Dunia yang Rapuh, Cemas, Tidak Linear dan Sukar Difahami (BANI) itu membawakan pembentang-pembentang daripada sektor kerajaan, swasta dan akademik untuk mengongsikan dan bertukar-tukar pandangan mengenai trend dan perkembangan ekonomi dan pasaran serta meneliti tinjauan bagi 2024 dan tahun-tahun yang terdekat.

    Penolong Pengarah Urusan, Operasi Monetari di BDCB, Awang Mardini bin Haji Eddie dalam ucapan alu-aluannya menekankan bagaimana persekitaran yang cepat berubah, yang sebelum ini digambarkan sebagai VUCA (volatiliti, ketidakpastian, kompleksiti dan ambiguiti), kini telah berkembang kepada akronim baharu, iaitu BANI (rapuh, cemas, tidak linear dan sukar difahami).

    Itu diakibatkan oleh pelbagai krisis yang telah berlaku beberapa tahun kebelakangan seperti perubahan iklim, pandemik COVID-19, ketidakstabilan kewangan, dan ketegangan geopolitik.

    Gambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BDCB

    Dalam pada itu, Awang Mardini turut mengongsikan beberapa contoh perkembangan ekonomi dan kewangan di pasaran yang telah berlaku pada 2023 yang dicirikan sebagai BANI, termasuk kemungkinan kemelesetan ekonomi, kegagalan beberapa bank dan tanda-tanda keresahan pasaran.

    Walau bagaimanapun, bank-bank pusat dan pihak pengawal selia telah mengambil tindakan pantas untuk meredakan gangguan-gangguan bagi mengembalikan keyakinan.

    Acara seterusnya diikuti dengan pembentangan oleh Pakar Perbankan, BDCB, Richard Ellis yang menggariskan kepentingan ketelusan serta penggubalan dan pelaksanaan peraturan dan garis panduan yang lebih jelas bagi meningkatkan kedayatahanan sektor kewangan.

    Beliau juga menekankan, pasaran terdedah kepada ketidakstabilan serta pengaruh media sosial yang dapat mengurangkan keberkesanan dan kebolehramalan pasaran. Berikutan itu, pengawal selia dan penyelia kewangan memainkan peranan yang sangat penting dalam mengekalkan kestabilan dan kecekapan pasaran kewangan.

    Kemudian, acara menyaksikan sesi panel yang menampilkan Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Perancangan di Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dayang Noor Bazilah binti Madanie; Ketua Pegawai Pelaburan Bank Standard Chartered, Raymond Cheng; Sekolah Perdagangan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam, Profesor Ahmed Masood Khalid; dan Associate Agensi Pelaburan Brunei, Awang Muhammad Bazli bin Haji Ghani. Moderator bagi sesi panel berkenaan ialah Associate Perkembangan Kewangan di BDCB, Abigail Leong Tze Fong.

    Ahli-ahli panel telah membincangkan mengenai cabaran ekonomi global yang kritikal, khususnya penurunan pertumbuhan ekonomi secara meluas dan kesannya terhadap Negara Brunei Darussalam. Perbincangan juga menyentuh mengenai kebimbangan makroekonomi dan mengkaji megatrend dalam pelaburan.

    Seterusnya, ahli panel memberikan pandangan bagaimana untuk menelusuri kerumitan dalam sektor kewangan yang sentiasa berubah, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (Al), perubahan iklim dan ketegangan geopolitik.

    Mereka juga memberikan gambaran menyeluruh mengenai trend yang membentuk strategi pelaburan semasa, sambil menekankan kepentingan penyesuaian sewajarnya berikutan gangguan BANI.

    Tinjauan Ekonomik dan Pelaburan itu adalah satu daripada acara yang dianjurkan oleh BDCB untuk merangsang dialog dan bertukar-tukar pandangan mengenai topik seperti pertumbuhan dan pembangunan ekonomi serta pasaran kewangan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...