Tingkat kefahaman dalam ibadah haji

Oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Bagi memberi kefahaman lebih terperinci kepada pelajar mengenai ibadah haji, Jabatan Ugama dan Bahasa Arab, Sekolah Menengah Berakas, baru-baru ini, telah mengendalikan Taklimat dan Bengkel Ibadah Haji bagi pelajar-pelajar Tahun 10.

Berlangsung selama dua hari pada 20 dan 21 November lalu, hari pertama diisikan dengan taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Abdul Kahar bin Haji Ali.

Taklimat tersebut menerangkan mengenai perjalanan dan perkara-perkara rukun serta wajib haji secara terperinci.

Ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar-pelajar dalam memahami ibadah haji yang mereka pelajari pada Tahun 10 dan 11.

Manakala itu, semasa bengkel yang diadakan pada hari kedua, para pelajar berkesempatan untuk merasakan sendiri perbuatan-perbuatan yang dilakukan semasa menunaikan haji di mana guru-guru Jabatan Ugama dan Bahasa Arab turut menyediakan pelbagai kelengkapan seperti model Kaabah, batu-batu untuk melontar, sepanduk berbentuk Jamrah dan Maqam Ibrahim, pasport dan tiket.

Ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar-pelajar untuk membayangkan kaifiat haji itu dilakukan di tanah suci Mekah.

Haji Abdul Kahar ketika memberikan penerangan mengenai ibadah haji kepada para pelajar.