Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kefahaman keadaan cuaca semasa

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Seramai 100 orang wakil daripada agensi-agensi kerajaan, pihak swasta dan orang ramai menghadiri Taklimat Cuaca Kebangsaan ke-24 yang berlangsung di Auditorium Jabatan Penerangan, hari ini.

    Taklimat yang diadakan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) itu disampaikan oleh Pegawai Kajicuaca, Awang Mohd Noor’Arifin bin Haji Awang Yusof, menumpukan kepada monsun timur laut dan peralihan monsun.

    Keadaan cuaca, iklim dan ramalan cuaca jangka panjang bagi monsun timur laut telah bermula pada 19 November dan dijangka akan berterusan sehingga hujung Mac 2025 serta bagi tempoh peralihan monsun bermula dari April hingga hujung Mei 2025.

    Dalam dua bulan pertama monsun timur laut iaitu Disember 2024 dan Januari 2025, yang dikenali sebagai musim tengkujuh, negara lazimnya mencatatkan turunan hujan yang tinggi dengan hari berhujan yang banyak berbanding bulan-bulan yang lain.

    Semasa tempoh itu, keadaan cuaca adalah tidak menentu dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

    Awang Mohd Noor’Ariffin semasa menyampaikan taklimat itu. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    Manakala semasa tempoh separuh kedua monsun timur laut iaitu Februari dan Mac 2025, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

    Sementara itu, sepanjang tempoh peralihan monsun, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengah hari.

    Kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan monsun berkenaan berbanding bulan-bulan yang lain, terutamanya di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam serta kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan harinya.

    Berdasarkan jangkaan iklim bermusim terkini yang dikeluarkan oleh pusat iklim dunia, fenomena La Nina dijangka terbentuk sekitar November dan berterusan sehingga awal 2025. Kehadiran fenomena La Nina berkenaan diramalkan akan menambah jumlah turunan hujan di negara kita bagi beberapa bulan akan datang.

    Taklimat Cuaca Kebangsaan merupakan salah satu inisiatif BDMD dalam usaha meningkatkan penglibatan kumpulan-kumpulan pengguna seperti kumpulan tindakan awal dan keselamatan, kumpulan ekonomi dan industri, syarikat-syarikat pembinaan, syarikat-syarikat insurans, perusahaan kecil dan sederhana serta pihak media massa.

    Taklimat itu bermatlamat meningkatkan kefahaman dan kepekaan pelbagai kumpulan pengguna dan orang ramai mengenai keadaan cuaca semasa bagi Negara Brunei Darussalam selain memudah cara kesiapsiagaan kumpulan pengguna dan orang ramai dalam membuat perancangan dan sebarang tindakan awal dalam menghadapi sebarang keadaan cuaca.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa serta mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX, menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather, Instagram @brunei.weather dan saluran Telegram Brunei Weather.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda