Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Lawatan berkonsepkan Kenali Negara Kitani (KNK) begitu sesuai ditekankan khususnya kepada golongan murid lebih-lebih lagi dalam memanfaatkan pengisian musim cuti sekolah.
Oleh yang demikian, dengan adanya penyertaan lawatan murid-murid secara percuma seperti ke Pusat Biodiversiti Hutan Tropika, Sungai Liang pastinya sesuatu yang mampu mempromosikan peningkatan kefahaman dan kesedaran mereka tentang biodiversiti Negara Brunei Darussalam dan menanamkan nilai-nilai pemuliharaan alam sekitar yang sejajar dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Perkara berkenaan antara yang dikongsikan oleh Guru Besar Sekolah Rendah (SR) Sungai Siamas, Dayang Nor Asnawati binti Haji Mohd Yassin apabila mengulas pandangan peribadi mengenai penglibatan lebih 20 murid Tahun 4 dan Tahun 5 dari SR Sungai Siamas dalam lawatan sambil belajar ke Pusat Biodiversiti Hutan Tropika, Sungai Liang, anjuran Mitsubishi Corporation melalui Brunei Liaison Office, dengan kerjasama Green Brunei dan sokongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Jabatan Sekolah-sekolah (JSS) di bawah Kementerian Pendidikan, dan Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), pagi tadi.
Beliau yang ditemui Media Permata semasa berlangsungnya majlis pelancaran Projek Pembangunan Sosial di Kampong Ayer Edisi Kedua bertempat di Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia itu berkata bahawa lawatan itu merupakan salah satu pengisian dalam projek tersebut bagi menambah pengalaman lawatan di bawah pelaksanaan sedemikian yang pastinya secara tidak langsung akan membantu meluaskan minda murid-murid bukan hanya untuk pengetahuan peribadi bahkan juga memantapkan lagi proses pemahaman mereka apabila mengikuti pembelajaran yang berkaitan di sekolah nanti.
“Daya kreativiti mereka juga akan dapat ditingkatkan khususnya dalam mata pelajaran seni lukisan di mana mereka dapat membayangkan suasana atau sesuatu yang berkonsepkan biodiversiti yang akan mereka lihat semasa lawatan nanti,” ujar Dayang Nor Asnawati lagi.
Terdahulu Dayang Nor Asnawati turut merakamkan kesyukuran dan penghargaan terima kasih kepada pihak berkenaan dengan adanya peluang keemasan itu lebih-lebih adanya sokongan daripada pihak Green Brunei dan Mitsubishi Corporation melalui Brunei Liaison Office.
“Peluang sebegini amat dialu-alukan lagi pada masa akan datang dari semasa ke semasa lebih-lebih apabila adanya lawatan seterusnya di daerah-daerah lain untuk sama-sama memperkasakan lawatan berkonsepkan KNK,” ujarnya.