Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 5 Feb – Dalam usaha untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat umum terhadap beberapa persoalan-persoalan akidah menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ), Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong buat julung kalinya melalui Masjid-masjid Daerah Tutong Zon 1 dan 2 serta ahli jawatankuasa takmir masjidnya telah mengadakan Forum Bicara Akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah di Masjid Kampung Penanjong, pagi kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan program tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.
Forum yang dipengerusikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Mohd Aidil Sufian bin Mohd Yassin telah disampaikan oleh tiga ahli panel iaitu Haji Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang, Awang Muhammad Syafiq Al-Lutfy bin Ahmad dan Awangku Ahmad Hassanuddin bin Pengiran Haji Tejudin.
Forum yang disasarkan kepada kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan, guru-guru, pelajar, Muslimah dan belia-belia masjid itu adalah untuk menarik lebih ramai jemaah masjid serta masyarakat untuk sama-sama terlibat dalam kegiatan-kegiatan dan program-program anjuran masjid selain untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli jawatankuasa takmir masjid dengan masyarakat.
Di samping itu juga, ia diharapkan akan dapat meningkatkan lagi mutu kerjasama di antara sesama ahli jawatankuasa takmir masjid, sekali gus menjadi medium kepada penyebaran ilmu yang sahih kepada masyarakat melalui peranan institusi masjid.
Forum seperti ini akan diteruskan lagi ke beberapa buah masjid yang terpilih di Daerah Tutong yang mana antara lain objektifnya ialah untuk memberi pendedahan kepada ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan peranan mereka sebagai sebuah jawatankuasa yang sangat penting dalam membantu pegawai-pegawai masjid melaksanakan tugas mentakmir dan mengangkat kehormatan masjid.