Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Perbincangan dan perkongsian yang diadakan diharap dapat mengembangkan lagi kesalingoperasian, meningkatkan kefahaman bersama dan memberi peluang untuk membincangkan mengenai pelbagai cabaran kesihatan yang baru muncul serta masa kini yang menjejaskan kita.
“Pengalaman kita akan mengajar untuk menghargai kerja berpasukan, pertukaran amalan terbaik dan yang penting, untuk melihat peluang kolaborasi yang akan membantu kita menangani dan bersiap sedia bagi misi-misi akan datang yang melibatkan sekuriti kesihatan.”
Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Strategi), Kementerian Pertahanan, Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud dalam kata alu-aluannya pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Pakar Perubatan Tentera, Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) ke-15 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.
Beliau menyatakan mesyuarat itu akan membincangkan mengenai prosedur-prosedur operasi standard (SOP) dan rangka kerja ASEAN yang lain termasuk ASEAN Standby Arrangement Standard Operating Procedures (SASOP) dan Rangka Kerja Sokongan Logistik (LSF) ADMM.
Sementara itu, katanya, eksesais Penilaian Keperluan Kesihatan akan mengembangkan ilmu pengetahuan mengenai cara-cara menyemak semula, mengutamakan dan memperuntukkan sumber bagi meningkatkan kesihatan dan mengurangkan ketidaksaksamaan, menjana rasa perpaduan serta matlamat ke arah satu visi bersama.
Mesyuarat selama tiga hari bermula 1 hingga 3 November itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Pegawai Perubatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kolonel (Dr) Haji Awang Mohd Hafizul bin Haji Awang Mohd Hassan dan Ketua Pengarah Kesihatan Operasi, Markas Kesihatan Bersama Pasukan Pertahanan Australia (ADF), Brigedier Isaac Seidl.
Mesyuarat itu telah dihadiri secara fizikal oleh wakil dari sebilangan negara ahli ADMM-Plus dan Pusat Perubatan Ketenteraan ASEAN (ACMM), manakala wakil dari China, India, Jepun, New Zealand, Amerika Syarikat dan Sekretariat ASEAN menghadiri mesyuarat berkenaan secara dalam talian.
Beberapa penceramah jemputan turut diundang untuk menyampaikan taklimat termasuk wakil dari Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNOCHA) yang berpusat di Republik Filipina.
Agenda mesyuarat termasuk membincangkan penggunaan Penilaian Keperluan Kesihatan semasa aktiviti berasaskan projek yang dikenali sebagai Projek Penempatan Perubatan Komuniti (PCMD) serta penggunaan LSF ASEAN. Projek itu bertujuan mengukuhkan peranan ACMM dalam membantu program perubatan ketenteraan yang serupa pada masa akan datang.
Mesyuarat kumpulan kerja itu juga yang pertama diadakan secara bersemuka di bawah kitaran kali ke-4 Kumpulan Kerja Pakar Perubatan Tentera bagi 2021-2023, di mana mesyuarat sebelum ini telah berlangsung secara dalam talian pada 2020 dan 2021.