Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Seramai 30 peserta terdiri daripada hakim-hakim syarie, pendaftar-pendaftar dan pegawai-pegawai Mahkamah Syariah menyertai kursus dalaman bertajuk Bengkel Perintah Penguatkuasaan dan Pelaksanaan yang berlangsung selama dua hari di Dewan Serba guna Bangunan Mahkamah Besar Brunei dan Mahkamah-mahkamah Syariah.
Bengkel selama dua hari bermula 19 hingga 20 November anjuran Mahkamah-mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri itu dikendalikan oleh seorang fasilitator jemputan dari Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan iaitu Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Yang Arif Mohamed Fouzi bin Mokthtar.
Majlis pembukaan rasmi bengkel berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa, diikuti ucapan daripada Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pengiran Mohammaddin bin Pengiran Haji Aliakbar.
Bengkel itu bermatlamat memberikan pendedahan dan meningkatkan kefahaman, pengetahuan serta kemahiran pegawai-pegawai Mahkamah Syariah dalam menjalankan peranan dan fungsi Mahkamah Syariah agar memastikan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah dilaksanakan mengikut peruntukan yang ada.
Ia juga bermatlamat memberikan kefahaman yang mendalam kepada pegawai-pegawai Mahkamah Syariah dalam mengaplikasikan peruntukan-peruntukan yang ada berkaitan pelaksanaan perintah serta memahami kaedah atau tatacara yang berkesan dalam memastikan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah dipatuhi dan mencari penyelesaian kepada isu-isu yang berbangkit dalam pelaksanaan perintah.