Tuesday, December 3, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kefahaman tentang fungsi, kepentingan tumbuhan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri (JPM), dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Botani, Universiti Brunei Darussalam (UBD BRC) di bawah Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Alam Sekitar (IBER), UBD, telah mengadakan simposium bertajuk Tumbuhan dalam Tamadun Islam bertempat di Ruang Lobi, BKISHHB, pagi tadi.

    Hadir sebagai tetamu kehormat yang seterusnya merasmikan simposium berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin.

    Turut hadir Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle dan pegawai-pegawai kanan.

    Tetamu kehormat seterusnya melancarkan dan mengunjungi pameran simposium yang mempamerkan pelbagai karya seni botani dan poster penyelidikan yang dihasilkan oleh UBD BRC dan BKISHHB.

    Beliau kemudian beredar ke taman herba yang menampilkan tumbuhan yang mempunyai nilai etno botani yang penting.

    Dr Hajah May Fa’ezah semasa merasmikan simposium berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara karya seni botani yang dipamerkan semasa simposium itu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Terdahulu, Pengarah BKISHHB, Dr Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad menyampaikan ucapan alu-aluan, di mana beliau menekankan kepentingan simposium itu merupakan langkah penting dalam menjalin kerjasama antara BKISHHB dan UBD dalam bidang penyelidikan dan kerjasama akademik.

    Beliau menambah, dari perspektif Islam, tumbuhan adalah antara makhluk hidup yang merupakan ciptaan dan melambangkan tanda-tanda agung Allah SWT yang mana tumbuhan hadir dalam pelbagai bentuk, warna dan ciri unik.

    Selain itu, beliau mengongsikan, taman herba di BKISHHB menampilkan lebih 54 spesies tumbuhan ubatan dan herba. Koleksi ini terdiri terutamanya daripada herba yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan telah digunakan selama beratus-ratus tahun untuk mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan.

    Penyelidikan saintifik telah menunjukkan kebanyakan herba tersebut berkesan untuk merawat pelbagai penyakit. Herba digunakan bukan sahaja sebagai rawatan untuk manusia dan haiwan, tetapi juga dalam pemeliharaan dan pengawetan artifak melalui tumbuhan tradisional.

    Kerjasama seumpama itu menandakan langkah penting dalam mendokumentasikan penggunaan tradisional herba untuk memelihara pengetahuan dalam era moden.

    Simposium tersebut diadakan selaras dengan visi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah untuk menjadikan BKISHHB sebagai pusat warisan Islam dan pemangkin pengetahuan melalui aktiviti akademik dan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.

    Melalui simposium tersebut, ia dihasrat untuk memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan tumbuhan, selaras dengan manfaat, fungsi, dan perkembanganya, untuk mempromosikan pertumbuhan intelektual dan pencerahan spiritual dalam kalangan peserta. Tambahnya lagi.

    Sesi plenari telah disampaikan semasa majlis pembukaan diikuti dengan pembentangan seminar oleh penceramah dari BKISHHB dan IBER.

    Kertas kerja simposium menekankan peranan penting tumbuhan dalam tamadun Islam di pelbagai bidang seperti pertanian, perubatan, budaya, dan kepercayaan. Simposium itu juga menyediakan platform untuk penglibatan dan perkongsian pengetahuan mengenai persimpangan antara sains tumbuhan dan tamadun Islam.

    Simposium berkenaan dihadiri oleh peserta termasuk agensi kerajaan dan institusi pendidikan, yang juga berpeluang melawat galeri di BKISHHB dan taman botani UBD BRC di UBD.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda