Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Khas dan Pusat Keusahawanan Inovasi telah mengadakan majlis bertadarus sempena bulan Ramadan yang berlangsung di Masjid Kampung Tanah Jambu, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan serta penduduk kampung sekitarnya.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Zohor berjemaah, diikuti dengan penyampaian sumbangan wakaf daripada Kementerian Pendidikan yang disempurnakan oleh Awang Aliuddin kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Imam Masjid Kampung Tanah Jambu, Awang Mohammad Zakaria bin Haji Mohammad Salleh.
Selepas itu, acara diikuti dengan majlis bertadarus dan diakhiri dengan bacaan doa bagi memberkati majlis yang diketuai oleh imam masjid.
Majlis seumpama itu merupakan salah satu aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan dan jabatan-jabatan di bawahnya dengan tujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan dan memohon keberkatan, keredaan serta kerahmatan daripada Allah SWT.
Ia juga bertujuan sebagai wadah dalam meningkatkan keimanan dan takwa, amal ibadat serta mengeratkan silaturahim sesama pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan dan menyahut hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir bagi menuju ke arah Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur.