Tingkat kemahiran belia

Gambar daripada Kumpulan Belia Syababul Iman

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Seramai 35 orang belia telah mengikuti program yang telah diadakan di Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, baru-baru ini.

Program bersiri tersebut merupakan kesinambungan daripada program BePro atau Belia Proaktif pertama yang dikendalikan oleh Kumpulan Belia Syababul Iman masjid terbut pada Mei yang lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kumpulan berkenaan, siri kedua program tersebut mengandungi dua sesi iaitu sesi motivasi yang berbentuk forum dan juga sesi meningkatkan kemahiran khususnya kemahiran dalam menjawab temu duga.

Antara lain tujuan program adalah untuk menyuntik semangat atau sikap tidak menyerah kalah pada diri para belia dalam mencari dan mendapatkan pekerjaan, menerapkan keyakinan bahawa sumber rezeki datang daripada Allah justeru perlunya untuk sentiasa bersangka baik pada Allah serta untuk memberi pengetahuan mengenai kemahiran menjawab temu duga.

Program bermula dengan forum bertajuk ‘Jangan Give Up Bossku’ yang disampaikan oleh dua orang ahli panel yang terdiri daripada Pengerusi Tetap Tertinggi Majlis Belia Brunei, Dayang Nur Izzatul Izzah binti Haji Abdul Rahman dan pemilik Warung Kuetiaw Abam Kitchen, Awang Mohd Fadillah bin Haji Abu Bakar dengan dipengerusikan oleh Dayangku Nur Amrina binti Pengiran Abdul Aziz.

Beberapa perkara telah ditekankan dalam forum tersebut termasuk pentingnya bagi belia mempunyai kemahuan untuk memperbaiki diri dan berani untuk keluar daripada zon selesa untuk mencari inisiatif dalam memperkembangkan lagi potensi dan ilmu demi ketahanan hidup serta kepentingan untuk selalu bersyukur dan memohon doa dan restu daripada ibu bapa dalam memastikan usaha diberkati oleh Allah SWT.

Program diikuti dengan sesi taklimat oleh wakil dari Job Centre, Awang Mohammad Asyraf bin Haji Arine dan Awang Mohammad Fadzli bin Haji Abdul Razak.

Taklimat bertajuk Interview Skills: Get that Job! tersebut antara lain mengongsikan jenis-jenis soalan temu duga yang lazim serta beberapa panduan dalam menjawab soalan-soalan temu duga.

Selain itu, para peserta juga berpeluang untuk menjalani praktikal temu duga yang telah dikendalikan oleh ahli-ahli jawatankuasa Kumpulan Belia Syababul Iman.

Praktikal temu duga turut diadakan semasa program berkenaan.
Antara yang mengikuti program kendalian Kumpulan Belia Syababul Iman.