Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran komunikasi bahasa Cina dan kapasiti perkhidmatan di kalangan profesional dari negara-negara ASEAN dalam sektor pelancongan, ASEAN-China Centre (ACC) menganjurkan Bengkel Pembangunan Kapasiti Pelancongan dan Latihan Bahasa Cina yang berlangsung di Haikou, Wilayah Hainan, Republik Rakyat China pada 9 hingga 14 Jun.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, menyatakan bahawa seramai 69 peserta yang merangkumi ejen pelancongan, pengusaha hotel dan penyedia perkhidmatan pelancongan dari Negara Brunei Darussalam telah mendaftar untuk menyertai bengkel atas talian melalui aplikasi Zoom pada 10 dan 11 Jun.
Sementara, dua lagi peserta mewakili Negara Brunei Darussalam menghadiri sesi latihan bersemuka yang berlangsung di Haikou, Wilayah Hainan pada 9 hingga 14 Jun.
Selain daripada mengukuhkan kefasihan linguistik para peserta, latihan berkenaan juga bermatlamat untuk membangunkan tenaga kerja pelancongan yang lebih cekap dari segi budaya dan lebih menumpukan kepada pelanggan bagi memenuhi harapan pelancong-pelancong China yang merupakan pasaran masuk paling signifikan bagi rantau ASEAN.
Bengkel tersebut juga dihasratkan sebagai sebuah platform berharga untuk pertukaran antara budaya, jaringan profesional dan berkongsi amalan terbaik di antara negara-negara anggota ASEAN dan Republik Rakyat China.
Sebagai salah satu inisiatif utama ACC bagi 2025 ASEAN-China Year of People-to-People Exchanges, program tersebut mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan kerjasama serantau dan mengukuhkan kedayatahanan industri pelancongan menerusi pembangunan kapasiti dan pembangunan modal insan.
Dengan melengkapkan ahli profesional pelancongan dengan kemahiran bahasa relevan dan kefahaman merentas budaya, latihan berkenaan dihasratkan dapat menyumbang secara signifikan kepada kecemerlangan perkhidmatan, meningkatkan pengalaman pelawat dan menyokong matlamat jangka panjang rantau untuk mencapai pertumbuhan pelancongan inklusif serta mampan.
Jabatan Kemajuan Pelancongan adalah komited kepada meningkatkan kualiti profesional pelancongan dan hospitaliti di Negara Brunei Darussalam. Pelbagai program-program latihan baharu telah dibangunkan untuk industri pelancongan dalam memastikan para profesional memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi dan memperkayakan lagi pengalaman pelawat.
Semua di atas: Antara suasana semasa bengkel berkenaan.- GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

