Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Dua orang pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan seorang pelatih dari Jati Transport Sdn Bhd, hari ini, berlepas ke Malaysia untuk menjalani latihan interaktif selama tiga tahun di bawah Program Mercedes-Benz Advance Modern Apprenticeship (AMA).
Mereka ialah Awang Muhamad Azmin bin Abdul Wahab, Awang Abdul Wafiy bin Haji Rudzi dan Awang Muhammad Noor Najib bin Awang Abdullah.
Program tersebut bertujuan untuk memberikan kemahiran terbaik kepada para peserta dalam bidang automotif khusus untuk Mercedes-Benz.
Para pelatih perantis berkenaan akan bekerjasama dengan para pelatih profesional yang berkemahiran tinggi selain berpeluang menerima elaun semasa mereka belajar oleh Jati Transport Sdn bhd.
Setelah berjaya menamatkan program berkenaan, mereka akan menerima sijil-sijil City & Guild VRQ Level 3 (Vocational Related Qualification), QMT (Qualified Maintenance Tech-nician), QST (Qualified System Technician) dan AMA daripada Mercedes-Benz.

Menurut Jati Transport semasa majlis penandatanganan kontrak perjanjian bulan lepas, peluang ini sangat jarang ditawarkan kepada pelajar yang lain dan ia merupakan peluang keemasan bagi sesiapa sahaja yang tercalon, dari itu, setiap saat adalah emas dan sangat berharga.
Syarikat Jati Transport berharap para pelajar akan dapat mengikuti program itu dengan baik dan akan berjaya dengan cemerlang.