BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Seramai 15 orang guru pertanian dari beberapa buah sekolah menengah di seluruh Negara Brunei Darussalam telah menyertai program pembangunan profesional yang berfokus kepada operasi dan penyelenggaraan jentera ladang di IBTE Kampus Agroteknologi, Kampung Wasan.
Program tersebut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan praktikal serta kemahiran teknikal para guru dalam mengendalikan, menyelenggara dan mengenal pasti masalah asas pada jentera pertanian yang digunakan dalam amalan pertanian moden.
Bimbingan dan latihan diberikan oleh tenaga pengajar berpengalaman dari IBTE Kampus Agroteknologi, merangkumi sesi demonstrasi secara langsung mengenai pengendalian jentera, langkah keselamatan, serta penyelenggaraan rutin.
Para peserta turut diberi pendedahan mengenai cara mengintegrasikan penggunaan jentera dalam pengajaran bagi meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pertanian berasaskan mekanisasi.
Para guru yang menyertai program ini melahirkan rasa penghargaan atas peluang untuk menambah ilmu, berkongsi pengalaman dan amalan terbaik bersama rakan pendidik lain.
Inisiatif pembangunan profesional ini mencerminkan usaha berterusan Kementerian Pendidikan dan IBTE dalam memperkukuh kemahiran guru agar selaras dengan keperluan semasa sektor pertanian serta menyokong aspirasi negara ke arah jaminan keselamatan makanan.




