Saturday, March 15, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kemahiran keusahawanan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – LiveWIRE Brunei yang ditubuhkan pada 2001 merupakan sebahagian daripada organisasi antarabangsa yang beroperasi di 23 buah negara di mana ia ditaja sepenuhnya dan merupakan program pembangunan komuniti utama Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP).

    Ia bermatlamat untuk menyumbang kepada meningkatkan kesedaran masyarakat Brunei mengenai perlunya untuk mempelbagaikan ekonomi negara dengan membangunkan lebih banyak perniagaan yang mapan.

    Dalam hubungan itu, Pengarah Program LiveWIRE Brunei, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas berkata, matlamat utama program berkenaan adalah untuk membangunkan kapasiti perniagaan menerusi akses kepada latihan keusahawanan, mentor, pembangunan perniagaan serta mengembangkan dan meningkatkan lagi jumlah perniagaan yang dimiliki serta dijalankan oleh belia tempatan di Brunei.

    Bagi mencapai matlamat berkenaan, Live-WIRE Brunei melaksanakan pelbagai program ke arah pembangunan pemikiran keusahawanan, motivasi, kemahiran dan keyakinan diri bagi para belia dan bakal-bakal usahawan supaya mampu menjadi usahawan yang berjaya.

    Salah satu program yang dilaksanakan adalah Bengkel Siri Pelan Perniagaan (BPS) yang diadakan pada 6 dan 7 Jun lalu di mana ia telah disertai oleh seramai 28 orang peserta dari DARe (Darussalam Enterprise).

    Menurut fasilitator program berkenaan, Awang Mohd Fadhilullah Tudun bin Haji Hassan, bengkel itu dihasratkan untuk menyediakan bagi para peserta dengan teknik dan peralatan yang diperlukan oleh mereka untuk menghasilkan pelan perniagaan yang berdaya maju di mana mereka mempelajari mengenai elemen penting dalam pelan perniagaan, sumber-sumber bagi mendapatkan maklumat lanjut, penyelidikan dan strategi pasaran, penilaian kos memulakan perniagaan, penggunaan IT dalam menghasilkan pelan perniagaan serta tip untuk membentangkan pelan perniagaan mereka.

    Siri pelan perniagaan itu merupakan bengkel keempat yang dilaksanakan oleh LiveWIRE Brunei bagi 2017.

    Para peserta program bergambar ramai di Trandie Marina Resort, Temburong.
    Para peserta program bergambar ramai di Trandie Marina Resort, Temburong.
    Para peserta Bengkel Siri Pelan Perniagaan sedang bertukar-tukar pendapat dan idea semasa dalam salah satu sesi perbincangan semasa bengkel berkenaan.
    Para peserta Bengkel Siri Pelan Perniagaan sedang bertukar-tukar pendapat dan idea semasa dalam salah satu sesi perbincangan semasa bengkel berkenaan.

    Selain daripada program itu, LiveWIRE Brunei turut mengadakan Program Kem Kepimpinan LiveWIRE yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Mei lalu yang berlangsung di Trandie Marina Resort, Temburong yang disertai oleh seramai 43 orang individu yang terdiri daripada pelajar-pelajar Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), lepasan pelbagai program anjuran LiveWIRE Brunei dan bakal usahawan muda.

    Program itu memberikan penekanan kepada kepimpinan yang efektif dan berkesan sebagai satu kemahiran yang perlu ada dalam diri seseorang usahawan untuk memimpin perusahaan melalui pelbagai cabaran dan rintangan bagi mencapai kejayaan yang dihasratkan.

    Program tiga hari itu bermatlamat untuk menanam nilai-nilai kepimpinan dalam diri individu peserta dan untuk mendalami sifat-sifat positif serta negatif dalam diri mereka melalui proses penilaian diri sendiri.

    Program itu berasaskan kepada konsep transformasi dengan mengetengahkan pendekatan komuniti yang mana, menurut Pengiran Redzuan, program itu dihasratkan untuk membuang cara pemikiran Brunei ‘malas ku ingau’.

    Beliau berkata bahawa jika seorang pemimpin mempunyai pemikiran begitu sudah setentunya orang di bawah mereka tidak akan merasa yakin. Beliau menjelaskan lagi bahawa matlamat utama program kem kepimpinan itu bukannya untuk merubah sikap para peserta tetapi untuk menjana transformasi dengan penekanan kepada konsep perpaduan di kalangan peserta.

    Semasa kem itu, para peserta didedahkan kepada pelbagai suasana dan meneroka sifat-sifat seorang pemimpin melalui sesi praktikal dan teori. Semasa sesi teori, Pengiran Redzuan dan Kaunselor Perusahaan LiveWIRE Brunei, Awang Mohd Fadhilullah Tudun mengongsikan bersama para peserta mengenai konsep-konsep psikologi daripada ahli psikologi terkenal termasuk Joseph Luft, Harry Ingham dan Abraham Maslow.

    Sementara itu, semasa sesi praktikal, para peserta melalui acara merentas hutan di mana mereka diberikan penerangan mengenai pelbagai aspek kehidupan dalam hutan hujan Brunei oleh pemandu hutan yang berpengalaman dengan penekanan kepada kerja berpasukan.

    “Seorang pemimpin yang baik harus juga menjadi seorang pengikut yang baik,” tegas Pengiran Redzuan lagi.

    Dalam hubungan itu, para peserta juga dinilai daripada segi kualiti positif dalam diri mereka dan selepas membuat perbincangan dalam kumpulan, setiap peserta mendedahkan sifat positif mereka dan bertekad untuk berusaha bagi terus mencapai hasrat berkenaan.

    Para peserta program itu dipetik menyatakan, kem berkenaan bukan sahaja memberikan panduan kepada laluan kehidupan yang baik tetapi pada masa yang sama, kegiatan-kegiatan yang dikendalikan sepanjang kem itu mendidik para peserta mengenai pentingnya pengurusan masa, pengurusan pasukan dan pengurusan diri sendiri yang baik.

    Kegiatan-kegiatan yang dijalankan, tambahnya lagi, membina keyakinan diri, ketabahan para peserta serta untuk bekerjasama dan berfikir sebagai satu pasukan yang bersatu.

    Pengiran Redzuan turut menjelaskan bahawa Daerah Temburong dipilih sebagai lokasi bagi program kem kepimpinan itu dengan hasrat untuk mendedahkan para peserta kepada suasana yang berbeza dan untuk menikmati keindahan alam semula jadi di daerah itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda