Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kemahiran literasi bahasa Arab

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 18 NOV – Seramai 88 pelajar Sekolah Arab Belait (SAB) hari ini menyertai Program Hayya Ilal Arabiyyah yang diadakan di bangunan sekolah berkenaan.

    Program anjuran sekolah sempena Bulan Bahasa Arab itu bertujuan untuk meningkatkan kemahiran literasi bahasa Arab para pelajar melalui aktiviti menarik yang menjalinkan penggunaan bahasa Arab bagi menyelesaikan cabaran yang terdapat dalam permainan yang disediakan oleh guru di seluruh bilik darjah sekolah.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada program berkenaan ialah Ketua Pegawai Ugama, Jabatan Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Awang Mohammad Aliyani bin Ismail.

    Majlis dimulakan dengan bacaan selawat dan Surah Al-Fatihah disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada pengetua sekolah, Pengiran Hajah Masniah binti Pengiran Hussin.

    Dalam ucapannya, beliau menjelaskan program itu diadakan selaras dengan tema Kembali ke Zaman Klasik yang Indah.

    “Tema tersebut dipilih supaya pelajar dapat memperkayakan kosa kata bahasa Arab berkaitan warisan dan tradisi,” tambahnya.

    Beliau juga berkata program itu bertujuan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif kerana pelajar akan menggunakan perbendaharaan kata bahasa Arab mereka untuk berinteraksi dalam banyak senario yang disediakan di sekitar bangunan sekolah seperti aktiviti pasar tradisional dan pelbagai permainan pendidikan.

    “Saya percaya melalui program ini, pelajar akan mendapat manfaat yang besar bukan sahaja dalam memperkaya perbendaharaan kata dan bahasa Arab mereka tetapi juga dalam memupuk rasa cinta terhadap warisan Islam kita,” tambahnya.

    Selesai ucapan, tetamu kehormat kemudiannya merasmikan program berkenaan di mana para pelajar telah berpecah kepada beberapa kumpulan untuk menyertai pelbagai permainan dan aktiviti.

    Pelajar sekolah bermain permainan congkak sambil memfokuskan kepada pengukuhan kemahiran mendengar dan bertutur dalam bahasa Arab. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Para pelajar semasa mempersembahkan bacaan Selawat Tafrijiyyah pada program tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Para pelajar yang mengambil bahagian dalam permainan dan aktiviti pada program itu. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda