Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kemahiran membaca tulisan jawi lama

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JAN – Seramai 21 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pusat Sejarah Brunei (PSB) dan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Muzium-muzium (JMM) menyertai Bengkel Membaca Tulisan Jawi Lama Dalam Manuskrip yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

    Hadir merasmikan bengkel berkenaan di PSB di sini ialah Pemangku Timbalan Pengetua PSB, Awang Muhammad Faisal bin Haji Mat Salleh.

    Bengkel berkenaan dikendalikan dan ditunjuk cara oleh dua orang fasilitator iaitu Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Taurath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Sultan (KUPUSB), Awang Azman bin Haji Kassim; Penolong Kanan Profesor Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Dr Haji Harapandi bin Dahri dan Jurutulis Jawi PSB, Awang Alomsa Nor Adzmin bin Haji Alli Omar.

    Fokus utama penyertaan para peserta adalah terdiri daripada bahagian yang terlibat dalam pengendalian dan pembacaan manuskrip, dokumen lama, surat perjanjian dan yang berhubung kait dengan tulisan jawi.

    Antara objektif bengkel adalah untuk memartabatkan tulisan jawi dan seni khat di negara ini selain memperkenalkan kepada para peserta tentang manuskrip jawi lama dan kepentingan sejarahnya.

    Ia juga melengkapi para peserta dengan pengetahuan dan kemahiran dalam membaca serta mengenal jenis tulisan aksara manuskrip jawi lama di samping menyediakan platform kepada para peserta bertukar idea dan berbincang mengenai cabaran dalam membaca manuskrip jawi lama serta menggalakkan dan meningkatkan lagi penggunaan dan kecintaan tulisan jawi kepada para peserta.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, PSB sebagai pusat pengkajian dan penyimpanan bahan sejarah mempunyai pelbagai bahan sumber bertulisan jawi lama yang sukar untuk difahami antaranya manuskrip lama, surat perjanjian, buku nadir, salasilah dan sebagainya.

    Bertitik tolak daripada itu, Bahagian Perpustakaan dan Pembelajaran, PSB berinisiatif mengungkayahkan Bengkel Membaca Tulisan Jawi Lama dalam Manuskrip secara dalaman.

    Dalam bengkel ini, para peserta akan didedahkan dengan kaedah pembacaan jawi lama dalam manuskrip Melayu dan jenis-jenis huruf khat yang digunakan.

    Diharap melalui bengkel ini, ia akan memberi manfaat dan juga membantu para peserta untuk menimba ilmu serta memahirkan diri dalam bidang pembacaan tulisan jawi lama yang sukar difahami.

    Antara peserta yang hadir semasa bengkel yang berlangsung di PSB kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda