Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Dalam usaha memperkasakan profesional sumber manusia (HR) dan pemimpin perniagaan dengan strategi praktikal untuk menyokong transformasi organisasi ke arah persekitaran yang lebih adaptif, berasaskan data serta berorientasikan manusia, Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF) telah menganjurkan Simposium HR di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Simposium bertemakan Futureproofing HR: Human Centric, Tech Driven. Future Ready itu dihadiri ahli profesional HR dari sektor kerajaan dan swasta, antaranya Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tabung Amanah Pekerja (TAP), Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA), Politeknik Brunei, Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB).
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BlLlF, Awang Afero Eswandy Mohamad, di mana beliau menegaskan bahawa profesional HR dan pemimpin bertanggungjawab untuk memastikan kecerdasan buatan (Al) digunakan bagi memperkukuh peranan manusia tanpa menggantikannya.
Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang menggabungkan inovasi dan keterangkuman, serta memastikan manusia, bukan Al, kekal sebagai teras dalam setiap keputusan penting.
Simposium diikuti dengan pembentangan utama bertajuk Human Al Dialogue – From Process to Impact yang disampaikan oleh Rakan Kongsi dan Ketua Pegawai Eksekutif ImpactPlus Consulting, Ridhima Khanduja.


Beliau telah membincangkan perkembangan kolaborasi manusia dan Al serta memperkenalkan kerangka Kontinum Manusia dan Al untuk meneliti transformasi dalam proses kerja, budaya tempat kerja dan peranan tenaga kerja.
Seterusnya pembentangan bertajuk Key Metrics to Improve Employee Performance and ROI disampaikan Jurulatih Bersama, SHRM Asia Tenggara, Martin Lee, yang menerangkan peranan metrik HR sebagai alat strategik dalam membuat keputusan untuk meningkatkan pengurusan bakat dan prestasi organisasi.
Simposium turut menampilkan sesi panel yang membincangkan tema-tema utama HR termasuk Revolutionising HR: Integrating Al into Work yang menekankan penggunaan Al untuk melancarkan operasi, meningkatkan penglibatan pekerja dan memperkukuh proses membuat keputusan serta meningkatkan kemahiran profesional HR dalam era Al generatif.
Selain itu, Transforming HR into a Strategic Business Force menegaskan evolusi HR daripada peranan pentadbiran kepada pemacu strategi perniagaan dengan memanfaatkan analitik tenaga kerja, menyelaras pembangunan bakat dengan objektif organisasi.
Manakala sesi Prioritising the Evolving Employee Experience pula menekankan kepentingan memenuhi jangkaan tenaga kerja masa kini dengan mewujudkan pengalaman kerja yang lebih bermakna melalui model kerja hibrid, inisiatif kesejahteraan dan sistem maklum balas berterusan bagi membina budaya kerja positif.
Perbincangan-perbincangan tersebut telah diperkaya dengan pandangan serta kepakaran daripada ahli panel tempatan dan antarabangsa, antaranya Ketua Pengarah, JPA, JPM, Dr Norfarizal bin Othman; Pengarah, Pusat Pekerjaan Brunei, Hajah Noraini binti Haji Mohamad Jamudin; dan Pengasas, Chapter Advisory, Malaysia, Norlida Azmi.

