Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kemahiran sertai pertandingan Worldskills ASEAN

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Kontinjen Negara Brunei Darussalam telah berlepas ke Singapura hari ini bagi menyertai pertandingan WorldSkills ASEAN Singapore 2023.

    Kontinjen negara diketuai oleh Pengarah Pendidikan Teknik dan Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohammad Zamri bin Haji Sabli bersama-sama dua ketua pasukan serta sembilan peserta dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), dua dari Politeknik Brunei (PB) dan dua dari Pusat Pembangunan Belia (PPB).

    WorldSkills ASEAN Singapore 2023 akan mempertandingkan sebanyak 22 bidang kemahiran dengan para peserta dari Brunei mengambil bahagian dalam lapan bidang kemahiran iaitu peserta dari IBTE menyertai bidang Penyejukan dan Penyaman Udara, Pengkabelan Rangkaian Maklumat, Penyelesaian Perisian IT untuk Perniagaan, Memasak dan Perkhidmatan Restoran.

    Peserta dari PB pula menyertai bidang Kejuruteraan Mekanikal CAD manakala peserta dari PPB menyertai bidang Teknologi Fesyen dan Terapi Kecantikan.

    WorldSkills ASEAN itu merupakan pameran terbesar kemahiran profesional dan teknikal di rantau ASEAN dan membawa matlamat pergerakan WorldSkills ke Asia Tenggara.

    Pertandingan kemahiran itu dimulakan melalui perjanjian dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN pada 1993 dan bertujuan bagi menggalakkan dan meningkatkan standard kemahiran di rantau ASEAN ke peringkat antarabangsa serta untuk memberikan motivasi kepada belia untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan mereka.

    Negara anggota ASEAN dilantik secara bergilir-gilir menjadi tuan rumah pertandingan WorldSkills ASEAN setiap dua tahun sekali.

    Peserta yang menyertai pertandingan berkenaan adalah peserta pilihan terbaik yang menunjukkan kebolehan teknikal berkemahiran tinggi secara individu dan kolektif dalam industri masing-masing.

    Kontinjen negara bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – Gambar serahan IBTE
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda