Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki 2024, Movember, yang membawa tema, Kekuatan Hari ini untuk Kesihatan Esok, memberikan tumpuan kepada kepentingan untuk mengambil tindakan sekarang dalam meningkatkan tahap kesihatan diri pada masa hadapan.
Kempen itu juga mengetengahkan beberapa isu kesihatan utama bagi kaum lelaki seperti kanser prostat, kanser tetis, kesihatan mental dan amalan hidup yang sihat dan aktif.
Kempen tersebut danjurkan oleh Pusat Kanser Brunei (TBCC), Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kesihatan lelaki dan menggalakkan pelaksanaan langkah-langkah proaktif bagi pengesanan serta pencegahan awal isu-isu kesihatan yang biasanya menjejaskan kaum lelaki.
Sehubungan dengan itu, Movember, berlangsung di Pusat Membeli-Belah One City, hari ini.Hadir menyempurnakan pelancaran kempen berkenaan ialah Menteri Kesihatan dan Pengerusi Lembaga Pengarah PJSC, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Dato menyeru kaum lelaki di negara ini supaya dapat memaksimumkan penjagaan kesihatan mereka dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat, melakukan aktiviti fizikal, bersenam dan bersukan, mendapatkan maklumat-maklumat mengenai pencegahan penyakit dengan lebih aktif terutama dari segi pencegahan kanser-kanser lelaki, menjaga kesihatan mental serta membudayakan ciri-ciri positif sebagai seorang lelaki, suami, ayah, anak, adik atau abang dalam kalangan keluarga dan masyarakat.
“Sehubungan itu, mana-mana aktiviti serta inisiatif yang menggalakkan kaum lelaki untuk mengambil tindakan awal serta memberikan sokongan padu kepada kesihatan lelaki seperti kempen Movember ini, adalah sangat diperlukan dan orang awam, lebih-lebih lagi kaum lelaki, hendaklah ikut serta dan melibatkan diri bagi sama-sama kita mencegah kanser dan meningkatkan penjagaan kesihatan secara am nya.”
Kempen itu bermula dengan acara konvoi Vespa khas yang menyaksikan penyertaan lebih 70 orang penunggang Vespa dan motosikal daripada kumpulan Vespadan kakitangan PJSC, menyertai acara menunggang Vespa serta motosikal solidairiti untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan lelaki. Konvoi berkenaan berlepas dari Letak Kereta Jerudong Park Pusing Lagi dan bergerak sejauh kira-kira 30 kilometer ke Pusat Membeli-belah One City, bagi mendapatkan perhatian masyarakat serta melambangkan perpaduan dalam mempromosikan kesedaran kesihatan lelaki. Pada pelancaran kempen tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham telah menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan kepada penyokong utama dan penaja bagi kempen berkenaan serta menyaksikan pameran yang diadakan. Semasa acara itu, para pengunjung telah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang direka untuk mendidik dan memberikan inspirasi termasuk konsultasi dan penilaian kesihatan dengan profesional penjagaan kesihatan di mana ia menggalakkan perbualan mengenai pengesanan awal, pemeriksaan saringan dan pilihan gaya hidup sihat. Acara itu mencerminkan pendekatan holistik PJSC kepada penjagaa kesihatan lelaki.
Selaras dengan inisiatif Movember global, PJSC berhasrat untuk menjana kesan berkekalan yang melangkaui hanya kesedaran, menggalakkan kaum lelaki untuk mengambil langkah positif dan jangka panjang menuju ke arah kesejahteraan diri mereka. Dengan sesi bermaklumat dan demonstrasi interaktif, PJSC adalah berdedikasi untuk menentang stigma berhubu-ngan kesihatan lelaki, menjadikannya lebih mudah untuk kaum lelaki dan orang yang dikasihi untuk terlibat dalam perbincangan terbuka mengenai kebimbangan kesihatan.