Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, kelmarin, telah menerima kunjungan muhibah daripada Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Tuan Yang Terutama Keiichi Ishii.
Dalam kunjungan itu, kedua-dua menteri membincangkan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan sektor pengangkutan khususnya perkhidmatan udara dan sektor maritim.
Ini termasuk peluang bagi meningkatkan kerjasama dalam perkhidmatan udara antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun.
Kedua-duanya juga bertukar-tukar pendapat mengenai inisiatif latihan berterusan bagi sektor maritim serantau di bawah kerjasama pengangkutan ASEAN-Jepun.
Turut hadir semasa kunjungan muhibah itu ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Brunei Darussalam, Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, dan Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam. Ini merupakan lawatan pertama bagi TYT Keiichi Ishii ke negara ini.