Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Dalam usaha untuk memantapkan lagi aktiviti yang dilaksanakan oleh pengawasan kejiranan (PK) di Daerah Tutong dan Kuala Belait, anggota ‘Focal Point’ Kejiranan mengadakan program perjumpaan dan pendekatan, kelmarin.
Di Daerah Tutong, anggota ‘Focal Point’ Kejiranan Daerah Polis Tutong iaitu Koperal 4899 Dayang Noraziah dan Koperal 5250 Awang Mohd Fadilah telah mengadakan perjumpaan dan pendekatan bersama Ketua Kampung Penapar, Haji Mahmud bin Haji Abdul Latif.
Perjumpaan itu menyentuh mengenai perancangan bagi mengadakan kempen kebajikan iaitu membersihkan Masjid Kampung Penapar selain berkongsi maklumat mengenai isu-isu jenayah yang berlaku di kawasan kampung berkenaan.
Sementara itu di Kuala Belait, anggota Balai Polis Kuala Belait, Staf Sarjan 2528 Awang Jofery dan Koperal 3028 Awang Mohd Jin mengunjungi Ketua Kampung Mumong, Haji Mohd Yusof bin Dulamin.


Pada perjumpaan itu, perbincangan mengenai pencegahan kegiatan jenayah di kawasan kampung berkenaan menjadi tajuk perbincangan di samping berusaha untuk mempertingkatkan lagi aktiviti rondaan pencegahan jenayah oleh ahli PK di kampung berkenaan.
Dalam pada itu, rondaan pencegahan jenayah juga telah dijalankan oleh Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan bersama ahli-ahli PK di kawasan Kampung Pelambayan dan Kampung Dato Gandi, Mukim Kota Batu, baru-baru ini.
Rondaan melibatkan lima orang anggota Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan yang diketuai oleh Sarjan Mejar 3096 Pengiran Noorhasni dan lima orang ahli PK yang diketuai oleh Haji Hanipah bin Begawan Pehin Udana Khatib Haji Junit.
Semasa rondaan, tidak ada sebarang kegiatan jenayah atau perkara-perkara yang mencurigakan didapati.