Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Dengan menumpu kepada Wawasan Brunei 2035, Forum Brunei 2024 diharap melalui perbincangan, ilmu pengetahuan yang dikongsi serta pandangan yang diperoleh dapat menyumbang kepada kejayaan bersama dalam mencapai wawasan negara berkenaan.
Harapan itu disuarakan oleh Pengarah Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Haji Tassim bin Haji Abu Bakar dalam ucapan alu-aluannya di Perasmian Forum Brunei 2024 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian forum berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Wawasan), Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohamad.
Dr Haji Tassim turut menyatakan melalui forum itu, diharap akan dapat mengukuhkan Akademi Pengajian Brunei serta kedudukan UBD di peringkat antarabangsa sebagai pusat penyelidikan akademik mengenai Brunei kontemporari, memperkukuh universiti dan meningkatkan masa depan bersama sebagai pusat serantau dan antarabangsa terutama dalam aspek penyelidikan mengenai Brunei.
Beliau menerangkan forum dua hari yang membawa tema, Brunei Today and Over the Next Thirty Years, yang menumpu kepada Wawasan Brunei 2035 mengandungi ucaptama, panel perbincangan khas daripada sektor perniagaan, pemimpin belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Selain itu, forum juga melibatkan 62 pembentangan kertas kerja daripada cendekiawan tempatan dan antarabangsa yang diadakan dalam sesi pembentangan selari di mana ia menumpukan kepada pelbagai disiplin ilmu yang terpilih serta pembentangan mengenai Melayu Islam Beraja yang menjadi falsafah negara.
Majlis seterusnya menyaksikan pembentangan ucaptama oleh Pengarah Institut Alam Sekitar dan Kelestarian, Universiti Kebangsaan Singapura, Profesor Benjamin Cashore.
Forum turut menampilkan sesi khas daripada kalangan pemimpin perniagaan tempatan yang terdiri daripada Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Belait Shipping Co Sdn Bhd, Haji Awang bin Haji Ali; Pengurus Besar SPHI Food Sdn Bhd, Haji Ibrahim Khalili bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies Sdn Bhd, Dayang Haslina binti Mohd Taib.
Satu ceramah khas mengenai ekonomi dan wawasan bertajuk, Blue Urbanisation Strategy to Climate Adaptation, disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD, Gabriel Yit Vui Yong.
Pada hari kedua forum penceramah khas iaitu Pegawai Urusan Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin bertajuk Transformasi Belia Brunei-Kecenderungan terhadap Kegiatan Ugama & Kemasyarakatan.
Selain itu, wakil daripada para pemimpin belia dan NGO turut berkongsi pemikiran dan pandangan dalam satu lagi sesi khas dengan para penceramah panel termasuk Pengasas Green Brunei, Dayang Khairunnisa binti Ash’ari; Pengasas Bersama Hand4Hand Brunei, Haji Muhammad Iqbal Fakhri bin Haji Damit; Belia Menentang Perhambaan dan Pengedaran Manusia, Dayang Amal Kasibah binti Bahari; serta Ahli Jawatankuasa Tadbir Majlis Kesejahteraan Masyarakat, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim.
Forum itu juga menampilkan 15 sesi pembentangan secara selari yang membolehkan para ahli akademik menyampaikan hasil dapatan dan pandangan mereka mengenai pelbagai tema ter-masuk budaya dan pembangunan alam sekitar, pembangunan ekonomi dan keusahawanan, hubungan antarabangsa, belia dan pembangunan kapasiti, serta kesihatan dan penuaan.
Forum Brunei diakhiri dengan penyampaian rumusan penutup oleh Profesor Ooi Keat Gin dan Profesor Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah.
Forum Brunei 2024 diharap menjadi platform penting bagi menggalakkan kerjasama dan membentuk hala tuju dan masa depan Brunei dengan hasil perbincangan yang dijalankan semasa forum akan menyumbang kepada merealisasikan Wawasan Brunei 2035.