Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Malaysia, M. Kula Segaran, di Bangunan Undang-undang, kelmarin.
Lawatan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM), melawat negara-negara ASEAN sempena Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025.
Semasa kunjungan hormat tersebut, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah dan M. Kula Segaran membincangkan peluang untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dengan Malaysia dalam hal-hal perundangan dan institusi.
Fokus utama perbincangan mereka adalah untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang perundangan seperti dalam timbang tara komersial dan pengantaraan antarabangsa.
Kedua-dua pihak juga meneroka cara untuk meningkatkan kerjasama, memupuk perkongsian pengetahuan, dan menyokong usaha pembangunan kapasiti, dengan matlamat utama untuk mewujudkan rangka kerja yang akan memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Peguam cara Negara, Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi dan pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Peguam Negara.