AMMAN, Jordan, 4 Okt – Negara Brunei Darussalam dan Jordan mencapai kata sepakat meningkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang penting hari ini.
Perkara itu antara yang menjadi agenda dalam majlis perjumpaan empat mata antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II, Raja Jordan, di Istana Al-Husseinieh, Amman, Jordan.
Terdahulu, Baginda Sultan dan anakanda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen diiringi Putera Mahkota Jordan His Royal Highness Prince Al Hussein dari hotel persemayaman, berangkat tiba bagi Majlis Sambutan Rasmi di istana berkenaan.
Keberangkatan tiba Baginda di perkarangan istana dialu-alukan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II.
Semasa keberangkatan tiba tersebut, sebanyak 21 das tembakan meriam telah dilepaskan.











Baginda Sultan dan Raja Jordan seterusnya dijunjung menaiki pentas diraja bagi menerima tabik hormat diraja, dengan diiringi lagu kebangsaan kedua-dua buah negara, seterusnya, Baginda berdua berkenan memeriksa Barisan Kehormatan Diraja yang terdiri daripada anggota Pengawal Diraja Jordan.
Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berdua dijunjung ke Greeting Hall bagi sesi pengenalan delegasi.
Mula-mula delegasi daripada kerajaan Jordan telah disembah kenalkan kehadapan majlis Baginda Sultan.
Seterusnya, delegasi Negara Brunei Darussalam telah disembah kenalkan kepada Raja Jordan.
Selepas itu, Baginda Sultan dan Raja Jordan berangkat ke Bilik Mesyuarat 1 bagi majlis perjumpaan empat mata yang didahului dengan sesi bergambar kenangan.
Selesai majlis perjumpaan empat mata, Baginda berdua kemudian berkenan berangkat ke Photo Hall bagi menghadiri majlis perjumpaan dua hala.
Majlis perjumpaan dua hala tersebut dimulakan dengan titah Raja Jordan bagi mengalu-alukan keberangkatan Baginda Sultan ke kerajaan Jordan.
Semasa perjumpaan tersebut, kedua-dua pemimpin telah berbincang mengenai dengan meningkatkan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara khususnya dalam bidang pertahanan, perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan dan pelancongan.
Dalam perjumpaan ini juga, kedua-dua pemimpin telah membincangkan isu-isu serantau serta bertukar-tukar pandangan tentang hal ehwal antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Selepas perjumpaan dua hala, kedua-dua pemimpin berangkat ke Dining Hall untuk menghadiri Majlis Santap Negara bagi meraikan keberangkatan Baginda Sultan serta rombongan ke negara tersebut.
Selesai Majlis Santap Negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat meninggalkan Istana Al-Husseinieh.
Pada acara berasingan, majlis penandatangan memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan Jordan telah diadakan pada sebelah pagi yang juga berlangsung di Istana Al-Husseinieh.
Tiga MoU dan satu perjanjian telah ditandatangani oleh menteri-menteri dan pegawai kanan daripada kedua-dua buah negara.
MoU yang dimeterai dalam Bidang Kerjasama Pertahanan yang ditandatangani oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud dan Pengerusi Ketua Turus Tentera Bersama Ang katan Bersenjata Jordan, Leftenan Jeneral Mahmoud Freihat daripada kerajaan Jordan.
MoU dalam Bidang Kerjasama Pelancongan pula telah ditandatangani oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri Pelancongan dan Antikuiti, Puan Yang Terutama Lina Annab bagi pihak kerajaan Jordan.
MoU Kongsi Sama Dua Hala dalam bidang Alam-Bina telah ditandatangani oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar dan Menteri Kerja Raya Jordan, Tuan Yang Terutama Yahya Alkasbi.
Sementara itu, Perjanjian dalam Kerjasama dan Bantuan Bersama dalam Hal Ehwal Kastam telah ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Kewangan Jordan, Tuan Yang Terutama Dr Izzeddin Kanakrieh.