Saturday, November 23, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kerjasama majukan sektor pengangkutan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha telah mewakili Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-30 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia bermula kelmarin hingga hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, Mesyuarat ATM ke-30 telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri II Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof.

    Mesyuarat ATM ke-30 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, TYT Loke Siew Fook selaku Pengerusi Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN pada 2024.

    Mesyuarat berkenaan telah mengesahkan dokumen-dokumen yang memberikan tumpuan kepada kemampanan sektor pengangkutan melalui usaha dan inisiatif seperti penyahkarbonan dan pendigitalan.

    Dokumen-dokumen tersebut ialah Signing of the Protocol 5 on own stopover rights to the ASEAN Multilateral Agreement on the Full Liberalisation of Passenger Air Services, ASEAN Guidelines on Light Electric Vehicles (LEV), ASEAN Guidelines on Urban Freight Transport (UFT), ASEAN Guidelines on Port Sector Public Private Partnership (PPP) dan ASEAN Guidelines on Port Digitalisation and Automation.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menghadiri ATM ke-30 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    Gambar ramai menteri-menteri yang hadir pada ATM ke-30 tersebut. – GAMBAR SERAHAN MTIC

    Mesyuarat ATM ke-30 seterusnya diikuti Mesyuarat-mesyuarat bersama Rakan-rakan Dialog Pengangkutan ASEAN iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea bagi membincangkan inisiatif-inisiatif ke arah mengembangmajukan kerjasama pengangkutan termasuk mengesahkan rangka kerja utama masing-masing.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary telah menandatangani Protocol 5: Own Stopover Rights between Any Points within the Territory of any other ASEAN Member State di bawah ASEAN Multilateral Agreement on the Full Liberalisation of Passenger Air Services (MAFLPAS) bagi pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam kelmarin.

    Protokol 5 di bawah MAFLPAS akan membolehkan syarikat-syarikat penerbangan dari negara-negara anggota ASEAN menurunkan serta mengambil penumpang di antara dua atau lebih tempat selepas membuat persinggahan di AMS yang lain bagi perjalanan yang sama.

    Protokol itu berpotensi meluaskan lagi pilihan penumpang dan pada masa yang sama akan meningkatkan lagi jumlah pergerakan penumpang di rantau ASEAN.

    Sementara itu, Yang Berhormat Pengiran Dato telah membuat perjumpaan dua hala bersama TYT Loke Siew Fook selaku Pengerusi dan Tuan Rumah bagi Mesyuarat ATM pada 2024, bagi membincangkan cara-cara meningkatkan kerjasama dalam sektor pengangkutan antara kedua-dua negara, termasuk pendigitalan perkhidmatan pengangkutan yang berkaitan serta pengiktirafan bersama dokumen-dokumen, yang akan membolehkan pergerakan rentas sempadan yang lebih efisien.

    Yang Berhormat Pengiran Dato juga membuat perjumpaan dua hala masing-masing bersama Menteri Pengangkutan Republik Singapura, TYT Chee Hong Tat, bagi membincangkan peluang dan hasrat untuk mengembang lagi kerjasama dalam sektor pengangkutan di antara kedua belah pihak terutamanya dalam bidang kelestarian serta bersama Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Republik Korea, TYT Park Sangwoo di mana mereka telah membincangkan hasrat kerjasama dalam pembangunan bandar pintar dan bertukar-tukar pendapat untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pengangkutan pintar.

    Mesyuarat ATM ke-30 didahului dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN kali (STOM) ke-58 dan Mesyuarat bersama Rakan-rakan Dialog pada 18 hingga 20 November.

    Delegasi Negara Brunei Darussalam ke STOM ke-58 diketuai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir. Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda