Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Persatuan Pendidikan Khas (FITRAH) telah mengadakan perbincangan dua hala antara Pentadbiran EXCO FITRAH dengan Pentadbiran Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, baru-baru ini.
Fokus perbincangan termasuk program latihan jangka pendek dan jangka panjang, khusus untuk guru-guru pendidikan khas dan ibu bapa selaku caregiver kepada anak-anak berkeperluan khas.
Antara yang hadir bagi mewakili FITRAH dalam sesi perbincangan yang diadakan di salah sebuah restoran di Bandar Seri Begawan itu ialah Presiden FITRAH, Hajah Norjum binti Haji Yusop dan Timbalan FITRAH, Dr Hajah Norbayah binti Haji Shahminan. Manakala Jabatan Pendidikan Khas diwakili Dr Eddy Fazlin bin Haji Amdan, Dr Hajah Mustazah binti Maidin serta pegawai-pegawai kanan yang lain.
Perbincangan berkenaan bertujuan meningkatkan pembangunan profesional dan juga mengemaskini strategi, amalan-amalan terbaik, skop pendekatan, kaedah, kemahiran yang komprehensif dan relevan yang digunakan pada masa sekarang melalui beberapa orang konsultan tempatan dan juga organisasi bukan kerajaan (NGO) yang diiktiraf.
Dalam pada itu, pihak FITRAH terus komited dalam berganding bahu serta bersetuju untuk menjayakan apa jua projek, program dan kursus latihan kemahiran yang diperlukan pada masa sekarang hingga membuahkan hasil kejayaan, di samping bertukar-tukar fikiran dan pandangan dalam merealisasikan pendidikan inklusif sekali gus berusaha mencapai hasrat, visi, misi dan hala tuju yang sejajar.



