Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN BAC) ke-99 dan Mesyuarat Majlis Perniagaan Bersama ke-23 telah dihoskan oleh Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 di wilayah Luang Prabang, baru-baru ini.
Mesyuarat berkenaan telah menyaksikan banyak hasil positif dan menggariskan rancangan hubungan perniagaan masa hadapan.
Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Laos (LNCCI), bagi pihak ASEAN BAC Laos, menganjurkan mesyuarat-mesyuarat berkenaan yang membincangkan hala tuju dan penyelesaian khusus untuk menjalankan aktiviti ASEAN pada 2024.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan ASEAN BAC Brunei, di bawah tema Meningkatkan Kesalinghubungan dan Ketahanan, ASEAN sedang merangka pelan induk keterhubungan yang bertujuan bagi meningkatkan daya tahan di tengah-tengah persaingan global dan isu-isu lain yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Ahli-ahli ASEAN BAC dari 10 buah negara anggota ASEAN dan ahli-ahli Majlis Penasihat Perniagaan Bersama ASEAN dari pelbagai negara telah mengambil bahagian dalam mesyuarat itu.
Wakil Vientiane dari wilayah Luang Prabang, ahli jawatankuasa eksekutif LNCCI, jawatankuasa eksekutif perdagangan dan industri wilayah Luang Prabang, duta-duta negara luar dari ASEAN ke Laos dan tetamu jemputan lain turut menghadiri mesyuarat tersebut.
Pada mesyuarat itu, ASEAN BAC Brunei telah mengetengahkan agenda utama Komuniti Ekonomi Borneo (BEC) yang baharu ditubuhkan selaras dengan tema Tahun Laos iaitu Meningkatkan Kesalinghubungan dan Ketahanan yang mana merupakan kepercayaan digital.
Itu terutama bagi kerjasama rentas sempadan, pandangan bermakna yang didorong oleh analisis dan kecerdasan buatan (AI), serta rantaian bekalan yang berfokuskan kemampanan, piawaian dan peluang untuk manfaat semua.
Pada hari yang sama, jawatan pengerusi ASEAN BAC bagi 2024 dan penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) bagi 2024 telah diserahkan kepada Laos.
Di bawah kepengerusian Laos, tumpuan ASEAN BAC akan diberikan kepada enam sektor keutamaan iaitu transformasi digital, pembangunan mampan, daya tahan kesihatan, keselamatan makanan, kemudahan perdagangan dan pelaburan, dan kesalinghubungan dan rantaian bekalan.