Sunday, November 24, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran alam semula jadi menerusi seni

    Nurdiyanah R.

    Kepentingan memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab semua lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda yang memerlukan penglibatan secara bersepadu.

    Generasi muda khususnya harus diterapkan dengan kepentingan pemuliharaan alam bagi memastikan mereka menjadi insan bertanggungjawab dan tidak sesekali melakukan kerosakan terhadap ekosistem.

    Dalam usaha menggalakkan generasi muda memainkan peranan lebih aktif dalam melindungi alam sekitar, satu pertandingan seni karya kreatif berasaskan bahan-bahan kitar semula dikenali sebagai The Light of Art telah dianjurkan oleh Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB) dengan kerjasama Management and Science University (MSU), Malaysia, baru-baru ini.

    Olahan seni dari bahan kitar semula
    Dengan membawa tema Fesyen Busana Muslim dan Muslimah, pertandingan dua hari itu bertujuan untuk mencungkil bakat kreatif para pelajar dengan seni karya menggunakan bahan-bahan utama berkonsepkan kitar semula sekali gus membuka minda dan orang ramai mengenai kepentingan memelihara alam persekitaran.

    Sebanyak 14 buah sekolah-sekolah menengah dan maktab seluruh negara iaitu Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam; Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Daerah Tutong; Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan; dan Maktab Anthony Abell, Seria adalah antara yang menyahut cabaran pertandingan tersebut.

    Pecahan kulit telur yang dikeringkan menjadi taburan unik pada latar belakang sebuah karya yang dihasilkan.
    Terdapat juga peserta yang menggunakan bahan kitar semula dari gelas dan straw plastik yang dipotong dan diolah menjadi skirt kembang.
    Dengan membawa tema Fesyen Busana Muslim dan Muslimah, pertandingan dua hari itu bertujuan untuk mencungkil bakat kreatif para pelajar dengan seni karya menggunakan bahan-bahan utama berkonsepkan kitar semula.
    Antara koleksi sentuhan karya penuh kreatif yang berjaya diketengahkan oleh para pelajar.
    Karya yang menggunakan keratan surat khabar untuk direka menjadi gaun labuh mahupun dijadikan gubahan kuntuman bunga.

    Tetamu kehormat majlis, Hajah Kamsiah binti Haji Mohd Yussof menyampaikan hadiah tempat pertama kepada pelajar SMSAB bagi Kategori Peringkat Sekolah-sekolah Menengah pada pertandingan tersebut.

    Sementara itu, pelajar-pelajar dari pusat tingkatan enam di negara ini antaranya Pusat Tingkatan Enam Belait (PTEB), Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET), dan Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) juga turut bersama-sama menyerlahkan daya kreativiti mereka dengan pelbagai sentuhan menarik penuh makna.

    Semasa penulis berpeluang meneliti satu per satu karya seni mereka, pastinya satu perkara yang dapat digambarkan ialah semuanya memiliki nilai estetika dan kreativiti yang tersendiri.

    Ada yang menggunakan keratan surat khabar untuk direka menjadi gaun labuh mahupun dijadikan gubahan kuntuman bunga. Begitu juga bungkusan plastik gula-gula dijadikan lakaran seni rekaan baju ala sari.

    Terdapat juga mereka yang menggunakan bahan kitar semula dari gelas dan straw plastik yang dipotong dan diolah menjadi skirt kembang. Selain itu, bahan-bahan terbuang dari pembungkus bunga telur pelbagai warna dan potongan plastik membeli-belah dijadikan rekaan baju yang comel dengan sebuah beg tangan dihasilkan dari bahan kotak. Begitu juga pecahan kulit telur yang dikeringkan menjadi taburan unik pada latar belakang sebuah karya yang dihasilkan.

    Pertandingan berkenaan merupakan buat kali ketiga yang telah diungkayahkan dan turut disokong oleh Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, di mana sebelumnya julung kalinya diadakan pada tahun 2017 dan diikuti pada tahun 2018.

    Di samping itu, pertandingan sedemikian turut dihasratkan untuk meningkatkan motivasi, semangat dan prestasi para pelajar dalam subjek Art and Design menerusi pendekatan berunsurkan aktiviti yang menyeronokkan dengan adanya elemen kemahiran berfikir aras tinggi disertai dengan penerokaan sumber yang betul berteraskan penyelidikan. Dalam hal ini ia juga secara tidak langsung memupuk semangat setia kawan bersama rakan sepasukan mahupun para peserta yang lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda