Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan Cyber Security Brunei (CSB)
Perkembangan aplikasi media sosial telah mengubah masyarakat untuk lebih terbuka dari segi komunikasi dan penggunaan teknologi komunikasi. Hakikatnya segala keperluan kehidupan kini berada di hujung jari di mana media sosial membolehkan para pengguna mengakses maklumat dalam kehidupan seharian.
Sifat media sosial yang lebih interaktif menjadi unik berbanding media yang sedia ada. Di samping itu, perkembangan media sosial menyebabkan pengguna media pada masa kini bergantung kepada urusan secara dalam talian yang membuka satu lembaran baharu untuk mencari dan berkongsi maklumat, salah satunya dalam aspek komersial atau berjual beli.
Dengan kata lain, kehadiran media sosial sudah tidak asing lagi menjadi platform untuk para peniaga mempromosi, menjual produk dan berinteraksi dengan pengguna lain dan begitu juga sebaliknya di mana ia memberi peluang individu untuk membeli-belah.
“Namun seiring berjalannya waktu, dalam keterujaan masyarakat membuat pembelian dalam talian, salah satu isu ancaman dan risiko yang perlu menjadi kewaspadaan bersama ialah fake online sellers di media sosial,” itulah antara yang ditekankan oleh Ketua Jurulatih Kesedaran Keselamatan Siber, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Brunei (BruCERT), Pengiran Mohamad Farid Zulhusni bin Pengiran Aziz semasa berkesempatan ditemui penulis secara dalam talian bagi membincangkan mengenai tajuk ‘Ancaman dan Risiko Membeli-belah di Media Sosial’, baru-baru ini.
Isu berkenaan pastinya boleh membawa kepada potensi berlakunya pencurian identiti pengguna atau pembeli di mana ia boleh terjadi apabila kita bertukar butiran peribadi bersama penjual seperti alamat rumah dan nombor akaun bank. Begitu juga ia boleh mewujudkan risiko penipuan dalam talian kerana hakikatnya tidak semua penjual di media sosial adalah jujur sehingga ada yang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi semata-mata.




Kenali ciri fake online sellers
Menyentuh mengenai ciri-ciri fake online sellers di media sosial, Pengiran Mohamad Farid menjelaskan bahawa mereka kebiasaannya menetapkan harga jualan terlalu murah untuk menarik pelanggan, di samping sebahagian mereka akan menutup ruangan komen dalam setiap paparan produk jualan yang diketengahkan untuk mengelak ulasan negatif daripada golongan pembeli yang pernah menjadi sasaran.
Selain itu, fake online sellers ini juga kebiasaannya sanggup membuat akaun lain untuk memberi komen palsu dengan memuatkan ulasan-ulasan positif pada ruangan komen setiap produk jualan yang mereka ketengahkan agar dapat menawan para pengguna lain.
“Perlu diingat juga, gambar-gambar di laman profil mereka dimuat naik baru-baru ini dan semuanya pada satu masa. Gambar mereka juga sering diambil dari laman sesawang yang lain atau pun screenshot daripada penjual media sosial yang lain. Turut menjadi salah satu ciri fake online sellers ialah profil laman media sosial mereka dicipta baru-baru ini dan nama akaun media sosial mereka pula kerap berubah atau diubah beberapa kali,” tekannya lanjut.
Pengiran Mohamad Farid antaranya turut menjelaskan bahawa para penjual yang tidak benar turut akan mempunyai sikap dalam memaksa kita sebagai pembeli untuk membuat pembayaran secepat mungkin dengan alasan barang-barang berkenaan dikatakan habis stok tidak lama lagi mahupun tempoh promosinya akan tamat. Maka dalam perkara ini membuatkan mangsa merasa panik dan terus membuat bayaran. “Kebelakangan ini, cara para penipu semakin maju, kerana mereka membuat laman sesawang dengan meniru laman sesawang perkhidmatan penghantaran lalu memberi awda nombor pengesanan melalui laman sesawang penghantaran yang tidak dipercayai tersebut. Walau bagaimanapun, laman sesawang itu palsu dan mempunyai banyak pautan yang rosak,” ujar beliau lagi.
Di akhir pertemuan bersama Media Permata, jika awda menjadi mangsa penipuan dalam talian khususnya media sosial, Pengiran Mohamad Farid menegaskan agar menghentikan semua komunikasi dengan segera dan laporkan akaun si pemangsa kepada media sosial yang digunakan serta blok akaun tersebut. Begitu juga diingatkan, mangsa perlu menyimpan tangkapan skrin dan segala maklumat yang berkaitan untuk tujuan bukti seperti resit, penyata bank, perbualan dan nombor telefon atau e-mel.

