Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran bahaya penyalahgunaan dadah

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Okt – Penyalahgunaan dadah merupakan isu global yang memberikan impak mendalam terhadap individu, keluarga serta masyarakat.

    Ia bukan sahaja memusnahkan kehidupan ribuan orang, malah memberikan kesan negatif kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

    Oleh itu, dalam menghadapi cabaran berkenaan, kerjasama antara pelbagai pihak adalah sangat penting di mana kita memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu yang melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sokongan dan dukungan masyarakat serta semua individu yang menyedari akan bahaya dan kesan daripada kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram ini.

    Seruan itu dibuat oleh Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN), Dato Paduka Haji Mohd Zalani bin Haji Ismail dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Video Kurnia Sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Forum sempena Sambutan Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan dan Pengedaran Dadah Haram 2024 yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Video kurnia sabda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen yang dilancarkan kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menyampaikan ucapannya. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara yang hadir ke majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, setiausaha dan timbalan setiausaha tetap serta para pegawai dari jabatan kerajaan dan swasta, institusi pendidikan kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta Majlis Belia di Negara Brunei Darussalam.

    Dato Paduka Haji Mohd Zalani dalam ucapan alu-aluannya turut menyatakan pendidikan dan kesedaran adalah senjata utama kita dalam menangani isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram.

    “Dengan memberikan pengetahuan yang tepat tentang bahaya penyalahgunaan dadah, kita dapat mencegah generasi akan datang daripada terjebak dalam kancah ini. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bersatu dalam memerangi isu ini,” tambahnya.

    Terdahulu, Dato Paduka Haji Mohd Zalani menyatakan tema sambutan 2024, Memperkasa Masyarakat Masa Depan Tanpa Dadah, mengajak semua pihak mengambil langkah proaktif dalam mendidik, menyokong dan membina masyarakat berdaya tahan terhadap masalah penyalahgunaan dadah.

    Ia merupakan seruan untuk membentuk generasi akan datang kepada yang lebih baik, di mana individu dan komuniti dapat hidup harmoni dan bebas daripada kesan negatif penyalahgunaan dadah.

    Dalam memperkasakan usaha BKN memerangi gejala penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang terus menular dalam masyarakat, agensi tersebut melancarkan video kurnia sabda DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen di mana ia merupakan inisiatif BKN dalam usahanya untuk menyebarluaskan maklumat dan kesedaran mengenai bahaya dadah serta pentingnya mengambil langkah pencegahan.

    Kurnia sabda mengandungi mesej antidadah dan perangsang khususnya bagi belia dalam mempergiatkan usaha dalam memerangi dadah serta menyeru agar mengamalkan gaya hidup yang aktif dan kreatif seperti meluangkan masa dengan aktiviti-aktiviti keaga-maan, kebajikan, kekeluargaan dan kemasyarakatan demi kesejahteraan negara.

    Ia juga merupakan seruan untuk membentuk generasi akan datang dengan lebih baik agar komuniti dapat hidup harmoni dan bebas daripada kesan negatif penyalahgunaan dadah.

    Majlis pelancaran video juga diisikan dengan forum khas bertajuk, Memperkasa Masa Depan Tanpa Dadah, dengan ahli panel forum terdiri daripada Dr Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos dan Datuk Dr Zafari bin Zulkifli manakala Dr Zulhilmi bin Haji Jaidin selaku moderator forum.

    Melalui sambutan itu, juga diharapkan semua pihak dan lapisan masyarakat mengambil langkah proaktif dalam mendidik, menyokong dan membina masyarakat yang berdaya tahan terhadap masalah penyalahgunaan dadah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda