Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran cegah diabetes

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Satu daripada empat pesakit yang menghidap diabetes mendapat ulser kaki yang seterusnya menjadi punca kepada pengudungan kaki.

    Pada 2022, kadar retinopati diabetes meningkat daripada 18 peratus kepada 22.9 peratus dalam masa dua dekad. Manakala, kadar keseluruhan retinopati diabetes tahap teruk dan retinopati diabetes tahap proliferatif ialah 6.3 peratus iaitu hampir dua kali ganda daripada kadar yang dilaporkan pada 2015 iaitu 3.7 peratus.

    Pada 2022, 70 peratus pesakit yang menghidap penyakit buah pinggang di tahap peringkat akhir dan menjalani dialisis juga menghidap penyakit diabetes.

    Statistik komplikasi disebabkan penyakit diabetes di negara ini itu telah dikongsi oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Diabetes Sedunia 2023 yang berlangsung di Ruang Legar, The Mall, Gadong, hari ini.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Ang Swee Hui; ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan di Kementerian Kesihatan.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan seni semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham diberikan penerangan mengenai saringan pemeriksaan kesihatan yang diadakan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Yang Berhormat Dato dalam ucapannya lagi menyatakan bahawa pengetahuan mengenai risiko diabetes adalah sangat penting bagi membolehkan individu mengenali risiko mereka terhadap diabetes dan mengambil langkah proaktif untuk pencegahannya.

    “Kebanyakan penghidap diabetes adalah mereka yang menghidap diabetes jenis 2, yang sering kali dikaitkan dengan faktor gaya hidup seperti diet yang kurang sihat, kurang aktiviti fizikal dan obesiti,” ujarnya.

    Beliau seterusnya menekankan bahawa obesiti merupakan salah satu faktor risiko penting dan menghidap diabetes.

    Yang Berhormat Dato me-nekankan, “Obesiti terus meningkat dengan kadar yang tinggi di seluruh dunia dan Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali.

    “Mengikut data yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Negara Brunei Darussalam memiliki salah satu kadar obesiti tertinggi di rantau Asia Tenggara, dengan purata 32 peratus pada 2022 berbanding 8.2 peratus pada 1990.

    Beliau menambah bahawa menurut STEPS 2015-2016 pula, hampir dua pertiga penduduk di Brunei dikategorikan mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

    “Apa yang lebih membimbangkan, separuh daripada kanak-kanak dan remaja dalam lingkungan umur lima hingga 19 tahun di negara ini mengalami berat badan berlebihan atau obes. Kanak-kanak yang obes mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap penyakit diabetes jenis 2.
    Beliau berkata, menurut data daripada Kaji selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan (NHANSS) 2014, kadar tertinggi dalam kalangan mereka adalah yang berumur antara 10 hingga 14 tahun.

    Manakala itu, daripada Kaji Selidik Kesihatan Pelajar Sekolah Global Brunei 2014, hanya 12.7 peratus remaja iaitu berumur 13-17, melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 60 minit setiap hari.

    Dengan statistik yang membimbangkan itu, beliau menekankan bahawa kita perlu terus mengambil langkah-langkah proaktif dalam meningkatkan kesedaran, pencegahan dan akses kepada rawatan penyakit diabetes.

    Oleh itu, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan pelbagai program bagi menangani masalah berkenaan iaitu menggunakan aplikasi BruHealth yang memiliki ciri-ciri untuk mempromosikan gaya hidup aktif.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda