Sunday, April 13, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran faedah menderma darah

    Oleh Sim Y. H.

    Menderma darah merupakan satu amalan kebajikan yang amat mulia kerana ia bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan tetapi merupakan satu khidmat bakti serta pengorbanan yang amat bermakna kepada masyarakat.

    Pada Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2021, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena sambutan itu pada Jun lalu berkata, “Pemindahan darah dan produk darah boleh menyelamatkan jutaan nyawa di seluruh dunia setiap tahun, ini termasuk pesakit-pesakit yang memerlukannya. Antara pesakit-pesakit yang sering kali memerlukan pemindahan darah dengan segera adalah seperti pesakit kecemasan, pesakit yang mengalami pendarahan semasa menjalani pembedahan, ibu-ibu yang mengalami pendarahan teruk semasa kehamilan atau semasa melahirkan anak.

    “Manakala pesakit seperti kanak-kanak yang mengalami anemia (kurang darah) disebabkan penyakit darah dan tulang sumsum seperti Thalassaemia dan Leukaemia memerlukan pemindahan darah secara berterusan. Di Negara Brunei Darussalam, pesakit-pesakit sedemikian memerlukan pemindahan darah dan produk darah sama ada dengan segera atau secara berjadual.”

    Dalam perutusan itu lagi, Yang Berhormat Dato menyatakan Hari Penderma Darah Sedunia yang diraikan pada 14 Jun setiap tahun dikhususkan bagi mengucapkan terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada semua penderma darah yang secara sukarela menderma tanpa mengharapkan sebarang imbalan daripadanya.

    Di samping itu, sambutan itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keperluan dan kepentingan pendermaan darah yang berterusan bagi menjamin bekalan darah dan produk-produk darah yang mencukupi, selamat dan berkualiti bagi kegunaan pesakit-pesakit yang memerlukannya.

    Kempen menderma darah yang dianjurkan bagi menyokong usaha Pusat Pendermaan Darah untuk menambah stok bekalan darah bagi kegunaan mereka yang memerlukan. – Gambar fail

    Peranan golongan belia

    Dengan membawa tema kempen iaitu ‘Darah Selamat Menyelamatkan Nyawa’ dan berslogankan ‘Derma Darah dan Pastikan Dunia Terus Berdenyut’, Hari Penderma Darah Sedunia 2021, mengetengahkan kepentingan sumba-ngan derma darah kerana ia dapat menyelamatkan nyawa dan meningkatkan kesihatan orang lain.

    “Ini memperkuatkan lagi seruan global agar lebih ramai orang di seluruh dunia menderma darah secara berterusan dan menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik.”

    Ulas Yang Berhormat Dato lagi, “Fokus khusus sambutan tahun ini adalah peranan golongan belia dalam memastikan bekalan darah yang selamat.

    Golongan belia diperlukan bagi menerajui aktiviti dan inisiatif untuk mencapai bekalan darah yang selamat melalui pendermaan darah secara sukarela. Belia membentuk sektor populasi yang besar dalam masyarakat yang penuh idealisme, semangat dan kreativiti.”

    Dalam hubungan itu, beliau menerangkan matlamat sambutan itu menumpukan kepada mewujudkan kesedaran meluas mengenai perlunya pemberian darah yang tetap tanpa pembayaran, mempromosikan nilai-nilai masyarakat menderma darah dalam meningkatkan perpaduan masyarakat dan sosial, mendorong para belia menyahut panggilan kemanusiaan untuk menderma darah, memberikan inspirasi kepada orang lain untuk menderma darah serta meraikan potensi belia sebagai rakan dalam mempromosikan kesihatan.

    Ke arah itu, aktiviti-aktiviti dan kempen pendermaan darah masih menjadi amalan yang berterusan yang jelas dapat kita saksikan di negara ini.

    Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal akan sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelaraskan kempen-kempen bergerak pendermaan darah di kesemua daerah.

    Pada 2020, Pusat Pendermaan Darah telah mencatat sebanyak 16,156 kutipan darah yang disumbangkan oleh 10,500 penderma darah, termasuk 3,215 pen-derma darah yang baru berdaftar.

    Pada 2019 pula, sejumlah 16,025 kutipan darah telah dicatatkan termasuk 2,120 orang penderma darah baru berdaftar dengan peningkatan sebanyak 0.8 peratus iaitu 131 unit darah, dalam kutipan darah telah dapat dilihat pada 2020 berbanding kutipan darah pada 2019 serta matlamat yang disarankan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu pencapaian tahunan jumlah penderma darah dalam lingkungan satu hingga tiga peratus daripada jumlah keramaian penduduk bagi memenuhi keperluan negara dalam menangani situasi kecemasan.

    Brunei Darussalam pada 2020 telah mencapai sebanyak 3.66 peratus dan perangkaan berkenaan adalah konsisten dengan pencapaian dari 2014.

    Dalam memastikan pencapaian itu sentiasa berterusan, Pusat Pendermaan Darah sentiasa aktif mempelawa dan menggalakkan pengelolaan kempen-kempen pendermaan darah secara sukarela bagi memperkasa dan memperluaskan lagi aktiviti sepertinya semata-mata untuk menarik lebih ramai lagi penderma darah, sama ada yang sedia ada atau yang belum pernah menyumbangkan darah.

    Pastikan darah selamat, berkualiti

    Di samping itu, Pusat Pendermaan Darah di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan tabung-tabung darah di semua hospital daerah juga akan terus berusaha untuk menyediakan akses kepada darah dan produk darah yang selamat untuk pesakit dalam kuantiti yang mencukupi kerana ini adalah salah satu komponen yang penting dalam memastikan keberkesanan sistem kesihatan di negara ini.

    Bagi memastikan darah yang diberi kepada pesakit adalah selamat, Pusat Pendermaan Darah sentiasa giat merancang dan seterusnya mengungkayahkan beberapa langkah sistematik untuk mengurangkan risiko terjadinya jangkitan kuman melalui pemindahan darah.

    Antara langkah yang diambil termasuk perancangan untuk melaksanakan Ujian Asid Nukleik bagi mengesan jenis asid nukleik khusus bagi virus HIV, Hepatitis B dan Hepatitis C, mengurangkan reaksi terhadap pemindahan darah dengan penggunaan beg darah yang mampu menapis sel-sel darah putih juga dikenali sebagai Leucocyte Depleted Packed Cells, memperkukuhkan lagi pendermaan darah yang selamat dengan berpandukan Buku Panduan Derma Darah yang diiktiraf dan terkini serta menjalankan ujian kawalan kualiti bagi memastikan kualiti darah mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh badan-badan piawaian antarabangsa.

    Pesakit yang boleh menderma darah

    Selain fokus kepada belia, WHO menyarankan pesakit yang mengalami penyakit tidak berjangkit juga boleh menderma darah tertakluk kepada kondisi pesakit berkenaan.

    Antara pesakit penyakit tidak berjangkit yang dibenarkan untuk menderma darah adalah seperti pesakit diabetik yang mempunyai paras gula yang stabil dan normal serta tidak mengambil sebarang ubat insulin, pesakit darah tinggi yang mempunyai tekanan darah yang normal dan mengambil satu jenis ubat sahaja, pesakit gout, pesakit buah pinggang yang sembuh sepenuhnya, pesakit mempunyai masalah tiroid yang tidak memudaratkan serta pesakit kurang zat besi, B12 dan folate yang bukan disebabkan pendermaan darah dan sembuh sepenuhnya mempunyai tahap hemoglobin tidak kurang 12.5g/dL.

    Namun yang demikian, kebenaran untuk menderma darah adalah juga tertakluk kepada pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan atau pegawai pemeriksa yang bertugas.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan, “Dalam kesempatan itu, saya dan seluruh warga Kementerian Kesihatan ingin meraikan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap penderma darah di Negara Brunei Darussalam yang telah banyak berjasa meluangkan masa untuk menderma secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang imbalan demi membantu pesakit-pesakit yang amat memerlukannya.

    “Ini termasuk generasi wira muda yang berani tampil serta mula men-derma darah seawal usia 17 tahun. Tidak lupa juga diucapkan berbanyak terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan, institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan NGO serta individu-individu perseorangan yang terlibat dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti dan kempen-kempen derma darah selama ini.

    Bagi setiap unit darah yang didermakan ianya Insya-Allah akan dapat menyelamatkan tiga nyawa pesakit.” Beliau seterusnya berkata, “Semoga Allah SWT membalas budi baik semua serta melimpahkan rahmatnya kepada mereka yang membantu sesama insan.

    “Sehubungan itu, saya ingin menyeru dan menggalakkan mereka yang belum pernah menderma untuk tampil demi kebaikan dan kesejahteraan bersama.”

    Orang ramai bolehlah mengikuti Facebook, bloodbankripas.brunei atau Instagram/Twitter @bloodbank_ripas untuk mengetahui maklumat terkini mengenai aktiviti Pusat Pendermaan Darah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda