Sunday, April 27, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran faedah menderma darah

    Oleh Sim Y.H.

    Darah merupakan cecair badan yang merangkumi pelbagai komponen seperti sel darah merah, sel darah putih, sel darah pemantan dan plasma.

    Fungsi darah di dalam badan manusia adalah sangat penting dan setakat ini belum lagi ada pengganti darah tersedia dalam pemberian rawatan kepada pesakit-pesakit.

    Setiap tahun, jutaan nyawa di seluruh dunia memerlukan pemindahan darah dan produk darah untuk meneruskan kehidupan seharian dan setiap tahun juga, institusi-institusi penjagaan kesihatan di seluruh dunia menghadapi cabaran untuk menyediakan darah yang mencukupi di samping memastikan kualiti dan keselamatannya.

    Kekurangan akses kepada darah dan produk darah yang selamat memberi kesan kepada semua pesakit, termasuk mereka yang memerlukan pemindahan darah secara berkala.

    Amalan menderma darah merupakan satu amalan kebajikan yang amat mulia kerana bukan sahaja ia membantu golongan yang memerlukan tetapi ia juga merupakan satu khidmat bakti serta pengorbanan yang amat bermakna kepada masyarakat.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 dan Pelancaran Ujian Amplifikasi Asid Nukleik, baru-baru ini.
    ATAS & BAWAH: Antara peserta yang mengambil bahagian dalam kempen derma darah yang diadakan di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, baru-baru ini.

    Hari Penderma Darah Sedunia

    Hari Penderma Darah Sedunia lazimnya disambut pada setiap tahun semenjak pengisytiharannya pada 2005 semasa Perhimpunan Kesihatan Dunia iaitu pada setiap 14 Jun, di mana hari berkenaan disambut sebagai satu platform untuk meraikan dan memberikan penghargaan kepada penderma-penderma darah sedunia atas niat baik mereka menghadiahkan sesuatu yang sangat bernilai bagi pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan atau transfusi darah.

    Hari Penderma Darah Sedunia itu juga menarik minat dan memberikan peluang bagi penderma darah yang baharu khususnya dan orang ramai yang sihat untuk tampil menderma darah secara kerap.

    Dengan adanya sambutan berkenaan, kesedaran dan kefahaman dapat ditingkatkan kepada orang ramai bahawa pendermaan darah adalah sewajarnya dilakukan secara sukarela tanpa memerlukan imbalan atau hadiah seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Derma Darah, Derma Plasma, Derma Berterusan, Demi Kehidupan

    Pada 2023, Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia membawa slogan ‘Derma Darah, Derma Plasma, Derma Berterusan, Demi Kehidupan’, di mana ia menumpukan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan pemindahan darah secara berterusan seumur hidup seperti pesakit-pesakit talasemia dan dalam masa yang sama menitikberatkan peranan penting bagi setiap individu yang berkelayakan untuk melakukan pendermaan darah secara berterusan.

    Pesakit yang mengidap talasemia iaitu penyakit kecacatan darah memerlukan transfusi darah secara berterusan disebabkan bekalan oksigen yang tidak mencukupi di seluruh sel tubuh mereka akibat kekurangan hemoglobin dalam sel darah merah.

    Pada 2022, jumlah pesakit talasemia di Negara Brunei Darussalam yang memerlukan rawatan transfusi darah ialah seramai 128 orang. Manakala dalam lima tahun kebelakangan ini, jumlah peratus bekalan stok darah yang digunakan untuk rawatan transfusi darah bagi pesakit talasemia di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) ialah kira-kira 35-40 peratus daripada jumlah keseluruhan darah yang dikutip setiap tahun.

    Aktiviti dan kempen pendermaan darah di Negara Brunei Darussalam

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya semasa Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 dan Pelancaran Ujian Amplifikasi Asid Nukleik, baru-baru ini, berkata di Negara Brunei Darussalam, aktiviti-aktiviti dan kempen-kempen pendermaan darah giat dijalankan dari semasa ke semasa.

    “Kementerian Kesihatan melalui Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan, pasukan seragam, sektor swasta dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelaraskan kempen-kempen bergerak pendermaan darah di kesemua daerah di seluruh negara.”

    Pada 2022, Pusat Pendermaan Darah telah mencatatkan sebanyak 16,505 kutipan darah yang disumbangkan oleh 13,416 penderma darah, termasuk 3,467 penderma darah baru yang berdaftar.

    Matlamat yang disarankan oleh pihak WHO bagi pencapaian tahunan jumlah penderma darah ialah 1-3 peratus daripada jumlah keramaian penduduk bagi memenuhi keperluan negara dalam menangani situasi kecemasan.

    Pada 2022, Negara Brunei Darussalam telah mencapai sebanyak 2.9 peratus dan perangkaan berkenaan adalah konsisten dengan pencapaian sejak dari 2014.

    Dalam memastikan pencapaian itu sentiasa berterusan, Yang Berhormat Dato berkata Pusat Pendermaan Darah sentiasa aktif mempelawa dan menggalakkan pengelolaan kempen-kempen pendermaan darah secara sukarela bagi memperkasa dan memperluaskan lagi aktiviti seumpama itu, semata-mata bagi menarik lebih ramai lagi penderma darah sama ada yang sedia ada atau yang belum pernah menyumbangkan darah.

    Pusat Pendermaan Darah di Hospital RIPAS dan tabung-tabung darah di semua hospital di Negara Brunei Darussalam juga terus berusaha menyediakan akses kepada darah dan produk darah yang selamat untuk pesakit dalam kuantiti yang mencukupi kerana ia adalah salah satu komponen yang penting dalam memastikan keberkesanan sistem kesihatan di negara ini.

    Bagi memastikan darah yang diberikan kepada pesakit adalah selamat dan berkualiti tinggi dan bagi memastikan akses universal kepada darah tersebut, Kementerian Kesihatan melalui pelbagai pihak yang berkepentingan sedang giat merangka sistem darah kebangsaan yang merangkumi dasar-dasar darah kebangsaan, program penderma darah sukarela tanpa imbalan, dasar bagi penggunaan darah dan produk darah secara klinikal dan bersesuaian serta dasar-dasar lain yang berkaitan dengannya.

    Oleh itu, keperluan bagi satu Jawatankuasa Darah Kebangsaan adalah dilihat sangat penting bagi memantau dan memastikan penggubalan sistem dan dasar-dasar tersebut dilaksanakan dengan betul dan berkesan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda