Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran hadapi peringkat menopaus

    MENOPAUS menandakan berakhirnya kitaran haid bulanan dan tempoh reproduktif seorang wanita. Ia juga tanda bahawa folikel dalam ovari berhenti menghasilkan dua hormon utama wanita iaitu estrogen dan progesteron. Seorang wanita dikatakan mengalami menopaus apabila sudah tidak datang haid selama 12 bulan berturut-turut.

    Sebelum fasa menopaus bermula, tubuh akan mengalami peralihan dan dalam tempoh ini seorang wanita mungkin mengalami gejala vasomotor menopaus bersama perubahan dalam kitaran haid.

    Usia yang tepat bila peralihan ini bermula berbeza bagi setiap wanita.

    Segelintir wanita mula mengalami perubahan dalam usia pertengahan 30-an, manakala segelintir lagi sebenarnya bermula pada usia 40-an.

    Purata usia menopaus di seluruh dunia adalah 51 tahun (50 hingga 52 tahun).

    Dalam menempuh menopaus, gejala vasomotor seperti rasa rimas dan mengalami keletihan adalah perkara biasa berlaku dalam kalangan wanita.

    Bagi menopaus pramatang, ia adalah tempoh seseorang mengalami menopaus sebelum usia 40 tahun. Ini mungkin berlaku secara semula jadi atau pembedahan apabila kedua-dua ovari dibuang atau diinduksi iaitu kemoterapi atau radioterapi untuk ketumbuhan. Bagi menopaus lewat pula ketika menstruasi melepasi usia 55 tahun.

    Wanita yang menopaus lewat mungkin meningkatkan risiko masalah payudara dan rahim.

    Malangnya, banyak tanggapan salah mengenai menopaus yang sering membuatkan kaum wanita gerun memikirkannya.

    Malah, menganggap menopaus adalah satu tempoh azab dan seksa sehinggakan mereka sentiasa membayangkan bahawa sebaik sahaja mengalami menopaus mereka akan menjadi tua dan uzur.

    Kesedaran mengenai isu-isu kesihatan sewaktu menghampiri dan sepanjang menopaus boleh membantu seseorang wanita untuk bersedia menghadapi fasa berkenaan apabila mereka memperoleh faedah daripada strategi pencegahan dan pengawasan lebih awal daripada sepatutnya.

    Setiap wanita pasti akan melalui menopaus, pada waktu ini ovari akan berhenti mengeluarkan hormon estrogen dan progesteron sekali gus menandakan berakhirnya proses kitaran haid.

    Dalam menempuh menopaus, gejala vasomotor adalah perkara biasa berlaku dalam kalangan wanita. Dianggarkan kira-kira 56 peratus akan mengalami rasa rimas (hot flushes), 49 peratus mengalami keletihan, manakala 84 peratus lagi mengalami tahap kolesterol yang tinggi.

    Gejala lain dialami termasuk berpeluh secara berlebihan, sukar tidur, rentak jantung tidak sekata, mood kerap berubah, murung, sukar beri tumpuan, memori merosot, kulit kering.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda