Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran HIV dalam kalangan pelajar

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Usaha terus dilaksanakan Majlis AIDS Brunei Darussalam (Majlis BDAIDS) dalam meningkatkan kesedaran mengenai HIV kepada golongan belia menerusi program penyebaran maklumat serta kesedaran mengenai HIV kepada masyarakat khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.

    Sehubungan itu, Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (HAPPY) telah dikendalikan Majlis BDAIDS di Sekolah Menengah (SM) Masin pada 9 Ogos lalu.

    Projek yang diterajui oleh belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual itu dihadiri 180 pelajar sekolah berkenaan.

    Program interaktif tersebut menggabungkan audio dan visual serta aktiviti interaktif untuk menyampaikan maklumat kepada golongan muda termasuk mesej yang disesuaikan kepada persekitaran tempatan.

    Sesi berkenaan diketuai oleh Penyelaras Projek HAPPY, Dayang Siti Kailene binti Mohd Jazlan Kashfi dengan disokong oleh sukarelawan daripada Majlis BDAIDS.

    Dayang Siti Kailene menerima cenderamata selepas mengendalikan program berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    ATAS & BAWAH : Antara pelajar SM Masin yang mengambil bahagian dalam program yang berlangsung di sekolah berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    GAMBAR OLEH SIM Y. H.

    Semasa sesi, Dayang Siti Kailene menekankan pentingnya kefahaman HIV termasuk bagaimana virus itu merebak dan bagaimana ia boleh dicegah.

    Beliau juga menyampaikan pelbagai gambaran berguna bagaimana jangkitan HIV boleh berlaku, membantu menghapuskan mitos dan salah faham yang sering dihadapi oleh golongan muda.

    Di samping itu, beliau telah menyentuh mengenai kebimbangan kehamilan remaja, menerangkan mengenai kesannya kepada emosi, sosial dan fizikal kehidupan golongan muda.

    Beliau turut menekankan pentingnya membuat keputusan yang bijak dan mengetahui cara-cara menetapkan batasan yang sihat dalam perhubungan untuk mencegah kehamilan tidak dirancang serta melindungi kesihatan mereka.

    Selain itu, sesi itu juga mengete-ngahkan statistik tempatan berkaitan HIV di Brunei, sekali gus menggariskan perlunya bagi kesedaran dan pendidikan yang lebih meluas.

    Majlis BDAIDS berharap para pelajar akan membawa maklumat berharga yang dipelajari daripada sesi berkenaan ke rumah, memanfaatkannya untuk membuat keputusan bijak serta berkongsi pengetahuan mereka dengan keluarga dan rakan sebaya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda