Oleh Sim Y. H. –
TUTONG, 13 APRIL – Usaha terus dilaksanakan Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS Council) dalam meningkatkan kesedaran mengenai HIV kepada golongan belia menerusi program penyebaran maklumat serta kesedaran mengenai HIV kepada masyarakat khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.
Sehubungan dengan itu, BDAIDS Council melaksanakan Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (H.A.P.P.Y) di mana ia merupakan sebuah projek yang diterajui oleh belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual.
Program itu dikendalikan di Sekolah Menengah (SM) Tanjong Maya di mana kira-kira 100 pelajar mengambil bahagian dalam program yang berlangsung di sekolah berkenaan, kelmarin.
Program interaktif yang juga merupakan sebahagian daripada program kesedaran sekolah berkenaan, diketuai oleh Penyelaras Projek H.A.P.P.Y, Dayang Siti Kailene binti Mohd Jazlan Kashfi dengan disokong oleh sukarelawan daripada BDAIDS Council.
Semasa sesi berkenaan, Dayang Siti Kailene menekankan pentingnya kefahaman HIV termasuk bagaimana virus itu merebak dan bagaimana ia boleh dicegah. Beliau juga menyampaikan pelbagai gambaran bagaimana jangkitan HIV boleh berlaku, membantu menghapuskan mitos dan salah faham biasa yang sering dihadapi oleh golongan muda.
Di samping itu, beliau juga menyentuh mengenai kebimbangan kehamilan remaja, menerangkan mengenai kesannya kepada emosi, sosial dan fizikal kehidupan golongan muda.
Beliau turut menekankan pentingnya untuk membuat keputusan yang bijak dan mengetahui bagaimana untuk menetapkan batasan yang sihat dalam perhubungan untuk mencegahkan kehamilan tidak dirancang serta melindungi kesihatan mereka.
Sesi itu juga mengetengahkan statistik tempatan berkaitan dengan HIV di Brunei, menggariskan perlunya bagi kesedaran dan pendidikan yang lebih meluas.
BDAIDS Coucil berharap para pelajar akan membawa maklumat berharga yang dipelajari daripada sesi berkenaan ke rumah, memanfaatkannya untuk membuat keputusan bijak serta berkongsi pengetahuan mereka dengan keluarga dan rakan sebaya.