Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran jenayah siber

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Para peserta program Perkampungan Sivik dinasihatkan untuk berwaspada apabila berhubung menggunakan Internet dan mengambil sikap berhati-hati apabila ingin mengongsikan maklumat peribadi mereka mahupun orang ramai.

    Ini kerana, melalui perkongsian maklumat peribadi terperinci secara dalam talian, ia boleh digunakan untuk melakukan jenayah terancang oleh beberapa individu seperti penjenayah siber.

    Perkara tersebut adalah antara yang diperingatkan kepada para peserta program anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri berkenaan pada sesi Taklimat Jenayah Siber, Risiko dan Bahaya Media Sosial oleh wakil Jabatan Peguam Negara di Kompleks Sukan Sungai Kebun, hari ini.

    Dalam taklimat itu, Timbalan Penasihat Undang-undang Kanan, Awang Zaki bin Abdul Rahman dan pegawai-pegawai penasihat undang-undang turut mengongsikan mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan penggunaan media sosial dan meningkatkan kesedaran awam mengenai bahayanya penyalahgunaan teknologi media sosial seperti buli siber, dan penipuan dalam talian atau ‘scamming’ serta peras ugut.

    Selain itu, taklimat turut mengongsikan mengenai kes-kes jenayah siber yang telah didakwa termasuk yang disebabkan oleh mesej-mesej tular dan penyebaran maklumat mengenai orang lain diikuti dengan sesi soal jawab.

    Sejurus selesai taklimat berkenaan, acara pada pagi tadi telah disambung dengan taklimat mengenai Perintah Kanun Jenayah Syariah 2013 oleh wakil Bahagian Pendakwa Syarie.

    Dalam taklimat itu, Timbalan Pendakwa Syarie, Haji Abdul Azim Azman bin Haji Judin @ Aji dan Timbalan Pendakwa Syarie, Awang Nizam Sumurdani bin Haji Abdul Talib antara lain mengetengahkan fasa perlaksanaan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, kepada siapa perintah ini dilaksanakan, pe-ngenalan kesalahan-kesalahan, jenis hukuman dan kesalahan am.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda