BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Seramai 20 orang pelajar yang berkeperluan khas telah menghadiri Program Promosi Kesihatan Mulut yang dikendalikan oleh Unit Pediatrik Pergigian, Jabatan Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan di Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Semasa program itu berlangsung, Timbalan Pengetua Pentadbiran sekolah berkenaan, Haji Masrul bin Haji Jamil semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya memuji inisiatif jabatan berkenaan dalam mengadakan program tersebut bagi pelajar berkeperluan khas di sekolah menengah dan maktab kerajaan di negara ini.
Sementara itu, Jururawat Kanan di Jabatan Perkhidmatan Pergigian, Hajah Normawati binti Haji Mohammad Jaafar, program berkenaan mempunyai dua objektif utama iaitu untuk memeriksa gigi dan tahap kesihatan mulut pelajar berkeperluan khas dan untuk memberi kesenangan kepada ibu bapa atau penjaga dalam membawa anak mereka menghadiri perjanjian dan menerima rawatan.
Terdahulu, program berkenaan dimulakan dengan pemeriksaan gigi dan mulut oleh empat orang jururawat yang bertugas dan diikuti dengan membuat perjanjian.
Dalam program tersebut juga, para pelajar diberikan berus gigi secara percuma untuk dibawa semasa perjanjian nanti dan semasa perjanjian itu nanti pelajar terlebih dahulu akan diajar cara betul untuk memberus gigi dan perjanjian seterusnya para pelajar akan menerima rawatan pergigian daripada pakar.
Program tersebut diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada Dayang Hajah Normawati yang telah disampaikan oleh Awang Haji Masrul.
Program ini merupakan program outreach jabatan berkenaan yang berlangsung selama enam bulan bermula April lalu dan akan berakhir pada hujung bulan ini.