Tingkat kesedaran kerjaya sebagai pelaut

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 4 OGOS – Sebagai sebahagian daripada acara tahunan untuk memperkenalkan dan menyebar maklumat mengenai program yang ditawarkan terutamanya kerjaya berpotensi yang berkaitan bidang marin, Akademi Maritim Brunei (BMA), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) telah mengadakan Seafarer Career Awareness Day di dewan serba guna kampus berkenaan.

Acara bertujuan memberi peluang kepada orang ramai sekali gus mempromosi kerjaya dan latihan-latihan yang ditawarkan dalam bidang marin dengan kerjasama Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Kerja (MISC) Marin.

Hadir untuk mengalu-alukan para jemputan serta wakil daripada syarikat-syarikat ialah Ketua BMA, Awang Mohammad Iskandar bin Haji Jani yang ditemani oleh Ketua Bersama MISC Marin, Awang Shamsul bin Othman.

Dalam ucapannya, Awang Shamsul berkata bahawa kerja-kerja perkapalan dan maritim adalah aset penting kepada negara bukan sahaja sebagai pengangkutan tetapi juga sebagai aliran pendapatan utama untuk ekonomi negara.

“Itulah sebabnya mengapa industri kita perlu membangunkan strategi secara berterusan demi memastikan keselamatan dan kemapanan, bukan sahaja untuk bahan mentah yang sedang dihantar, tetapi juga untuk salah satu aset paling penting dalam bidang ini, pelaut.”

Para jemputan melawat salah satu petak pameran semasa acara berkenaan.

Dengan menitikberatkan pembangunan pelaut yang berkelayakan, beliau menekankan acara yang diadakan berkenaan akan berfungsi menyokong perkembangan tenaga kerja anak tempatan yang membentuk tulang belakang industri.

“Kami percaya dalam menggaji orang yang betul, dengan kemahiran betul, dalam bidang kerja yang betul, yang mampu mempamerkan tingkah laku yang betul serta berkongsi komitmen yang sama untuk memajukan industri,” tambah beliau.

Lapan syarikat daripada industri marin mengambil bahagian dalam acara berkenaan iaitu Belait Shipping Sdn Bhd, Brunei Gas Carrier Sdn Bhd (BGC), DBX Ship Management Sdn Bhd, Majlis Perancangan Tenaga Kerja dan Pekerjaan (MPEC), Megamas Training Company Sdn Bhd, Petro Laut Sdn Bhd, PTAS Sdn Bhd dan Posh Darussalam Sdn Bhd.

Antara aktiviti yang dipamerkan adalah Life at Sea di mana bekas pelajar BMA serta pegawai dek dari BGC berkongsi pengalaman mereka bekerja dalam industri maritim.

Acara diteruskan dengan pelancaran Seafarer Career Awareness Day yang disempurnakan oleh Awang Mohammad Iskandar sebelum berakhir dengan kunjungan ke petak-petak yang dikendalikan oleh BMA dan syarikat-syarikat terbabit.