Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran keselamatan semasa mengisi minyak

    Oleh Daniel Lim & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

    BELAIT, 30 OKT – Orang ramai khususnya pelanggan stesen minyak berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pentingnya mengikuti prosedur yang betul untuk memastikan keselamatan setiap pengguna dalam Kempen Jerayawara Keselamatan Isi Selamat, Rasa Selamat yang diadakan hari ini.

    Kempen yang dianjurkan oleh Brunei Shell Marketing Sdn Bhd (BSM) itu diadakan secara serentak di keempat-empat daerah di seluruh negara dengan kerjasama pihak berkepentingan utama termasuk Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Tenaga, (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, pejabat daerah di empat-empat daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Polis Diraja Brunei.

    Di Daerah Belait, kempen itu diadakan di Stesen Minyak Servis Roxana dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin. Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Perbandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Ridzuan bin Haji Ahmad dan wakil daripada pelbagai pihak berkepentingan utama yang berpusat di Daerah Belait.

    Pengurus Jualan dan Pemasaran di BSM, Dayang Rozalina binti Haji CA Muhammad semasa ucapan pembukaannya menjelaskan bahawa kempen tersebut diadakan sebagai usaha untuk membantu BSM dalam memahami cabaran-cabaran ke arah pematuhan keselamatan dan tindakan lanjut oleh BSM terhadap reaksi orang ramai untuk terus sama-sama mengekalkan keselamatan bersama.

    Beliau juga menjelaskan pelbagai amalan selamat yang perlu diperhatikan semasa mengisi bahan bakar yang termasuk memastikan enjin kereta dimatikan, tidak menggunakan peranti mudah alih atau peranti elektronik, serta menggunakan bekas bahan bakar yang sesuai apabila membeli bahan bakar, di samping mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

    “Sebagai tambahan kepada mesej keselamatan ini, BSM bagi pihak kakitangan stesen juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi peraturan keselamatan ini untuk memastikan semua orang selamat pulang,” katanya.

    Sementara di Daerah Temburong, kempen tersebut telah diadakan di Stesen Minyak Negalang dan hadir merasmikan kempen jerayawara tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Abdul Gani bin Haji Othman.

    Turut hadir ialah beberapa orang pegawai dan kakitangan dari jabatan-jabatan kerajaan Daerah Temburong dan BSM. Program seumpamanya adalah sebagai satu wadah kepada semua pemandu bagi mematuhi segala langkah-langkah keselamatan sewaktu berada di semua stesen minyak di Negara Brunei Darussalam.

    Salah seorang pelanggan ketika menerima agihan risalah BSM mengenai keselamatan di Stesen Minyak Negalang. -Gambar oleh Norhamizan Haji Mosbi
    Pegawai Daerah Belait menyerahkan risalah kepada salah satu pelanggan yang berada di Stesen Minyak Servis Roxana.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda