Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran kesihatan buah pinggang

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Ke arah usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan buah pinggang dalam kalangan pelajar dan kakitangan institusi pendidikan tinggi di negara ini, Kementerian Kesihatan telah mengadakan Jerayawara Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua bagi Institusi Pendidikan Tinggi sempena Hari Buah Pinggang Sedunia Tahun 2024 bertempat di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada jerayawara berkenaan ialah Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global), UBD Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Dr Joyce Teo Siew Yean.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Ketua Guru Ugama, Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan, Haji Mohammad Azmi bin Haji Tapau.

    Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Jabatan Perkhidmatan Renal, Kementerian Kesihatan, Hajah Wan Aslina binti Haji Ibrahim, juga selaku pengerusi bersama majlis sekali gus merasmikan jerayawara tersebut.

    Jerayawara berkenaan diadakan untuk mewujudkan kesedaran tentang kesihatan buah pinggang dan kepentingan pengesanan awal, khususnya dalam kalangan golongan muda.

    Dalam pada itu, ia juga bertujuan menggalakkan langkah-langkah pencegahan, pilihan gaya hidup untuk mengekalkan kesihatan buah pinggang dan menawarkan pemeriksaan kesihatan buah pinggang percuma kepada sekurang-kurangnya 1,500 orang pelajar dan kakitangan institusi pendidikan tinggi.

    Sepanjang jerayawara itu, pelbagai aktiviti dan sesi pendidikan tentang kesihatan buah pinggang, faktor risiko dan pencegahan penyakit buah pinggang kronik juga diadakan, antaranya pameran tentang pemakanan sihat, senaman, penghidratan, kesihatan mental dan ubat-ubatan dan pameran bahan dan sumber pendidikan tentang kesihatan buah pinggang.

    Selain pemeriksaan kesihatan percuma, termasuk pemeriksaan tekanan darah dan ujian air kencing, jerayawara berkenaan turut melibatkan pakar buah pinggang untuk sesi soal jawab dan juga permainan dan kuiz buah pinggang yang menarik dan menyeronokkan.

    Turut hadir pada majlis ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kesihatan dan UBD.

    Dr Joyce (tengah) hadir selaku tetamu kehormat semasa jerayawara kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Sesi perkongsian kesihatan buah pinggang semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    ATAS & BAWAH : Kementerian Kesihatan telah mengadakan Jerayawara ‘Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua’ bagi Institusi Pendidikan Tinggi sempena Hari Buah Pinggang Sedunia Tahun 2024 bertempat di PAPRSB IHS, UBD, hari ini dengan pelbagai pengisian pameran dan aktiviti menarik. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda