Monday, January 6, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kesedaran kesihatan mental

    Oleh Nurdiyanah R. –

    TUTONG, 13 OKT – Sebagai salah satu usaha meningkatkan kesedaran kesihatan mental di negara ini, Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan (HPC) menganjurkan program lawatan sambil belajar menerusi R U OK? Youth Retreat ke Mori Farm, Daerah Tutong, hari ini.

    Program setengah hari yang bertepatan dengan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia itu menyediakan peluang kepada golongan belia negara untuk mempelajari strategi-strategi baharu demi menguruskan kesihatan mental dan kesejahteraan diri terutamanya dalam beradaptasi dengan persekitaran yang tenang lebih-lebih lagi mengembangkan kemahiran baharu melalui lawatan tersebut.

    Kebanyakan peserta terdiri daripada golongan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT)
    yang terkemuka termasuk Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

    Menerusi program berkenaan, para peserta menimba pengalaman dan pengetahuan melalui bimbingan golongan pakar profesional kesihatan mental dari Clarity Brunei dan More to Bloom.

    Di samping itu, HPC tidak ketinggalan menyediakan para peserta dengan maklumat tentang pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan di negara ini khususnya dalam menangani keperluan kesihatan mental.

    Antara aktiviti yang diadakan semasa program lawatan berkenaan. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam
    Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam

    Peserta-peserta turut berpeluang mengadakan perbincangan berkisar R U OK? di mana segala strategi telah dipelopori oleh R U OK? Foundation, sebuah organisasi kesihatan mental Australia.

    Menyentuh mengenai program berkenaan, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold berkata, ia dilaksanakan sebagai inisiatif sebagaimana galakan kerjasama berkaitan kesihatan mental oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sebelumnya berjaya mendapatkan semua pemimpin rantau ini untuk mendaftar pada Kenyataan Pemimpin Sidang Kemuncak Asia Timur mengenai Kerjasama Kesihatan Mental.

    “Australia berbangga kerana telah menaja bersama Kenyataan Pemimpin Sidang Kemuncak Asia Timur dan kini kami memastikan bahawa komitmen terhadap kesihatan mental ini memberikan manfaat kepada penduduk wilayah kongsi kami.

    “Sama seperti R U OK?, strategi melibatkan mendengar keperluan orang di sekeliling kita, Australia komited untuk mendengar dan bertindak balas terhadap keperluan jiran seperti Brunei,” tambah beliau.

    Sehubungan itu, kerjasama kesihatan mental akan membentuk bahagian penting dalam aktiviti di bawah Perkongsian Komprehensif Brunei-Australia, yang ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Perdana Menteri Australia, Tuan Yang Terutama Anthony Albanese semasa lawatan rasmi Baginda ke Australia pada Jun lalu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda