BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Bersempena dengan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Persatuan MAWAR telah menganjurkan sesi perkongsian secara maya melalui Siri MAWAR bertajuk ‘Kesihatan Mental Kanak-Kanak di Brunei Darussalam’ yang telah diadakan menerusi aplikasi Zoom.
Persatuan MAWAR telah menjemput dan bekerjasama dengan Pegawai Psikologi dalam Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dayang Rina @ Ramizah binti Haji Rahmad.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan MAWAR, perkongsian tersebut telah mendapat sambutan baik daripada orang ramai dengan penyertaan 100 orang termasuk ahli-ahli persatuan.
Kenyataan menyatakan, dalam situasi pandemik COVID-19 di negara ini, ia memberikan kesan kepada ramai pihak termasuklah kanak-kanak dan remaja.
Antara impak yang dibimbangkan adalah tahap kesihatan mental mereka, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang belum memiliki pemikiran matang dan tidak mengetahui cara yang sihat dan selamat dalam menangani tekanan yang dihadapi.
Sekiranya gejala kesihatan mental tidak ditangani dengan baik, ia akan memberi kesan yang lebih serius dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, perkongsian tersebut bertujuan untuk memberikan kesedaran dan kefahaman terutamanya kepada ibu bapa dan para penjaga mengenai kewujudan tekanan mental dalam
kalangan kanak-kanak dan seterusnya mengenal jenis-jenis kesihatan mental yang dihadapi oleh kalangan kanak-kanak khususnya di Negara Brunei Darussalam.
Selain itu, ia berobjektif untuk memberigakan lagi cara-cara pencegahan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak.
Pada siri kedua yang akan diadakan pada 7 November depan, penceramah akan berkongsi cara membantu kanak-kanak dalam menangani isu berkaitan dengan kesihatan mental mereka.
