Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan dan memelihara keindahan alam sekitar termasuk kawasan pantai serta mengeratkan hubungan silaturahim, kumpulan kadet tentera laut Thailand bersama-sama masyarakat Thailand yang bermastautin di negara ini mengadakan Kempen Membersihkan Pantai di Pantai Peranginan Muara, hari ini.
Menerusi aktiviti membersihkan pantai berkenaan, ia diharapkan bukan sahaja sebagai aktiviti kebajikan masyarakat yang dapat mengeratkan hubungan antara para peserta dengan masyarakat Thailand yang bermastautin di Brunei tetapi juga mengeratkan hubungan persahabatan antara Negara Brunei Darussalam dan Thailand.
Kempen itu disertai oleh kumpulan kadet tentera laut Thailand, pegawai dan kakitangan dari Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam serta masyarakat Thailand yang bermastautin di negara ini.
Kumpulan kadet tentera laut Thailand berkenaan merupakan sebahagian daripada skuadron tentera laut Thailand bagi tiga buah kapal frigat iaitu HTMS Taksin, HTMS Bhumipol Adulyadej dan HTMS Kraburi yang di bawah kepimpinan Laksamana Muda Chakchai Noihuahaad sebagai komander skuadron latihan, yang berlabuh di Pelabuhan Muara selama tiga hari, bermula 16 hingga 18 Mac.
Kapal-kapal berkenaan sedang melaksanakan aktiviti latihan bersama kadet-kadet tentera laut di mana ia meliputi aspek seperti pengemudian, taktik tentera laut, operasi maritim dan kejuruteraan perkapalan.
Semasa aktiviti latihan selama 29 hari berkenaan, kapal-kapal tersebut berlabuh di Hong Kong dan Pelabuhan Muara di mana skuadron berkenaan berlabuh di Brunei bagi meraikan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik antara Brunei dan Thailand ke-40.
Selain daripada mengadakan aktiviti khidmat masyarakat bersama, skuadron kadet tentera laut berkenaan juga mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti untuk mengukuhkan hubungan dua hala, pertukaran budaya dan maklumat sejarah antara Negara Brunei Darussalam dan Thailand.
